JOHOR BAHRU: PKR mempunyai bukti bahawa Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad telah menyertai parti baharu sehari sebelum kedua-dua bekas pemimpin parti itu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, hari ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh susulan itu berkata, bon RM10 juta itu masih terpakai kepada bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden berkenaan.
“Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa mengumumkan bahawa pada 18 haribulan, iaitu hari ini mereka akan kosongkan kerusi Parlimen masing-masing, dan pada 19 haribulan iaitu esok, mereka akan keluar parti.
“Itu cara mereka mengatakan bahawa Akta Anti Lompat Parti itu tidak terpakai. Tetapi saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk parti Bersama. Dalam ‘website’ Bersama, ‘timestamp’ (pendaftaran) pada 17 haribulan,” katanya kepada pemberita semasa Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.
Tambah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, Akta Anti Lompat Parti masih terpakai kerana mereka dipercayai telah mendaftar untuk memasuki parti politik lain sebelum mengosongkan kerusi Parlimen secara rasmi.
“Kalau ikut dasar Perlembagaan parti, maka mereka sudah pun lompat parti pada 17 haribulan, iaitu sebelum mereka mengosongkan kerusi pada hari ini. Jadi penasihat undang-undang kami akan kaji perkara tersebut sebelum sebarang tindakan (saman) dibuat terhadap mereka berdua,” katanya.
Sementara itu, pihaknya turut memberitahu sama ada tindakan perundangan boleh dikenakan terhadap lima lagi Ahli Parlimen PKR yang bergambar bersama Mohd. Rafizi dan Nik Nazmi dalam program pengumuman mereka di Petaling Jaya, semalam.
“Kita akan bincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Biro Politik PKR esok. Kita akan bincang tindakan ke atas semua (yang terlibat dalam program semalam),” katanya.
Semalam, Mohd. Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan mereka akan mengambil alih parti Bersama dan akan bertanding di kawasan Parlimen masing-masing dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.










