Dendam lama punca lelaki OKU lembam di bunuh di Bachok

Dendam lama punca lelaki OKU lembam di bunuh di Bachok

MOHD. Yusoff Mamat (dua kiri) menunjukkan peralatan yang digunakan untuk memukul lelaki OKU lembam sehingga mati Bachok semasa sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dendam lama dipercayai menjadi motif utama kepada pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam yang ditemukan parah di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada 14 April lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil siasatan yang dilakukan selepas mendapati tujuh suspek yang ditahan termasuk pasangan suami isteri yang berusia antara 25 hingga 52 tahun ipercayai mempunyai sejarah perselisihan faham dengan mangsa.

“Konflik berpanjangan itu dipercayai membawa kepada insiden pembunuhan tersebut. Mungkin ada dendam antara mereka sehingga menyebabkan suspek dan mangsa bergaduh di sebuah rumah di daerah Kota Bharu.

“Dalam pergaduhan itu, mangsa dipercayai dipukul pada bahagian dada menggunakan blok enjin motosikal manakala topi keledar digunakan untuk memukul mukanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, mangsa kemudian dibawa sejauh kira-kira 6.5 kilometer menaiki sebuah kenderaan sebelum ditinggalkan di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok

Katanya, suspek dipercayai meninggalkan mangsa di tepi jalan bagi mewujudkan gambaran seolah-olah Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, terbabit dalam kemalangan.

“Siasatan turut mendapati dalang utama kes itu ialah dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun, manakala individu lain dipercayai berperanan membantu termasuk menempatkan mangsa di lokasi kejadian.

“Sebuah kereta, tiga motosikal, enam telefon bimbit dan dua batang kayu antara barang dirampas dalam siasatan ini selain blok enjin motosikal serta topi keledar yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, kesemua tujuh suspek kini direman manakala dua suspek utama dijangka dituduh di mahkamah dalam masa terdekat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 15 April lalu, seorang lelaki OKU lembam dilaporkan maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu.

Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, dekat sini selepas bertarung nyawa lebih 17 jam.

Sebelum itu, dia ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah di bahagian muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan kejadian pada pukul 7.30 pagi, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN