BANGKOK: Seorang pelancong warga China dilarang daripada memasuki Thailand seumur hidup selepas didakwa merosakkan pintu kawalan pasport automatik di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dekat Bangkok.
Ia merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Asia Tenggara mengikut keluasan tanah selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur..
Lelaki berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Zheng Liwei itu dituduh merosakkan dua pintu imigresen automatik di lapangan terbang itu pada Rabu.
Kejadian berlaku ketika dia cuba melepasi pemeriksaan pasport untuk penerbangan pulang ke China, lapor Bangkok Post.
Menurut laporan, Liwei mula bertindak agresif dan berang selepas gagal berulang kali untuk meloloskan diri melalui proses saringan automatik di lapangan terbang terbabit.
Satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan lelaki itu menghempas pasportnya pada mesin pengimbas sebelum bertindak menendang penghadang kaca dan merempuh keluar dari pusat pemeriksaan tersebut.
Pihak polis memberitahu media tempatan, The Nation, bahawa pegawai imigresen berjaya menahan lelaki itu serta-merta. Tangkapan itu dibuat selepas dia didakwa menceroboh pintu pagar berkenaan tanpa kebenaran.
Pengawal keselamatan lapangan terbang, dengan bantuan isteri suspek kemudian berjaya menangkap lelaki itu selepas dia dilaporkan menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat dalam bahasa Mandarin dan Inggeris, selain cuba menyerang kakitangan imigresen.
Suspek kini berdepan pertuduhan merosakkan harta benda awam, satu kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga 60,000 baht (RM7,275) atau kedua-duanya sekali.
Liwei juga berdepan pertuduhan berasingan kerana menghina penjawat awam yang sedang bertugas yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga 20,000 baht (RM2,427) atau kedua-duanya sekali.
Pihak berkuasa imigresen Thailand telah membatalkan visa lelaki itu serta-merta dan memasukkan namanya ke dalam senarai hitam kekal dan melarangnya daripada menjejakkan kaki ke negara itu semula. – AGENSI










