KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mencadangkan agar Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan dinamakan semula sebagai Velodrom Azizulhasni sebagai penghormatan terhadap jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Cadangan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh ahli gabungan PKBM dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk berkenaan yang berlangsung semalam.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata keputusan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pertimbangan lanjut memandangkan velodrome itu merupakan hak milik kerajaan.
“Hari ini, kami sebulat suara bersetuju untuk membawa hasrat ini (pertukaran nama Velodrom Nasional) kepada pihak pengurusan KBS dan MSN. Potensi Azizul harus dicerminkan oleh bangunan tersebut.
“Walau bagaimanapun, menukar nama bukanlah satu keputusan yang kita sebagai persekutuan boleh buat sendiri kerana ia melibatkan logistik dan ia mungkin ambil masa satu atau dua tahun,” kata Amarjit kepada pemberita pada sidang akhbar, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Amarjit turut memaklumkan Velodrom Azizulhasni di Dungun, Terengganu berkemungkinan akan ditukar nama sekiranya cadangan baharu itu diluluskan bagi mengelakkan kekeliruan.
Isu lain yang turut dibangkitkan ialah status projek Velodrom Cheras yang masih tergantung selepas pertukaran pemilikan tanah beberapa kali oleh pihak pemaju.
“Apa yang saya tahu, Jakel telah membeli tanah tersebut dan berjanji akan membina velodrom baru sebagai pertukaran bagi tanah Cheras tersebut. Tetapi sekarang saya dengar ia telah dijual dan dijual lagi.
“Saya harap pemaju atau sesiapa sahaja yang membeli hartanah tersebut menepati janji mereka. Jika kita boleh mendapat velodrom secara “percuma” di KL, ia akan memudahkan lagi ahli gabungan kita di KL,” katanya.










