Pengumuman Onn Hafiz 'wow factor' kepada rakyat Johor - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Pengumuman Onn Hafiz ‘wow factor’ kepada rakyat Johor – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 11 Mei - Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelbagai inisiatif yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini merupakan ‘wow factor’ yang memberi manfaat kepada semua golongan tanpa mengira perbezaan parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha dilakukan kerajaan negeri yang ditadbir UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri juga dihargai kepimpinan peringkat pusat.

“Kita hargai pengumuman dibuat Menteri Besar Johor dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini. Apa yang telah dilakukan adalah ‘wow factor’ untuk seluruh rakyat Johor, tanpa mengira parti politik, kaum dan agama.

“Kita harap usaha ini dihargai rakyat Johor keseluruhannya, kerana dibawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berdua, pendapatan negeri bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan kepimpinan UMNO lain.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri juga berkata, pengagihan perolehan kerajaan negeri kepada rakyat pelbagai lapisan telah dibuat secara adil kepada kumpulan dan golongan masyarakat memerlukan.

“Mudah-mudahan ia akan terus memberikan kemakmuran kepada rakyat negeri Johor keseluruhannya,” katanya.

Pada Sidang DUN Johor khamis lalu, Onn Hafiz mengumumkan kerajaan Johor telah melaksanakan pemberian Bantuan Kasih Johor (BKJ) fasa keempat dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM138 juta.

Jumlah peruntukan itu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor di seluruh negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×