Operasi cari tiga pendaki hilang di Gunung Dukono diteruskan

Operasi cari tiga pendaki hilang di Gunung Dukono diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menyambung semula usaha mencari tiga pendaki yang hilang pada Sabtu selepas Gunung Dukono meletus di pulau Halmahera di Pasifik, kata seorang pegawai penyelamat.

Sekurang-kurangnya 100 anggota penyelamat, tentera dan polis, serta dua dron pengesan haba dikerahkan untuk mencari dua rakyat Singapura dan seorang rakyat Indonesia itu, kata ketua agensi penyelamat tempatan, Iwan Ramdani, kepada Reuters.

Mangsa yang terselamat memberitahu polis, tiga orang, termasuk dua rakyat Singapura, meninggal dunia dalam letusan pada Jumaat, kata ketua polis tempatan, Erlichson Pasaribu, namun agensi penyelamat masih belum mengesahkan kematian tersebut setakat Sabtu.

Gunung berapi di wilayah Maluku Utara itu mula meletus pada pagi semalam, memuntahkan abu setinggi 10 km ke udara, menurut agensi vulkanologi Indonesia.

“Kami memberi tumpuan pencarian di sekitar kawah, meliputi kawasan kira-kira 700 meter. Pihak berkuasa pada Jumaat telah memindahkan 17 orang — tujuh rakyat Singapura dan 10 rakyat Indonesia,” kata Iwan.

Agensi penyelamat menghentikan operasi pencarian pada petang Jumaat apabila gunung berapi itu masih terus meletus.

Iwan berkata, usaha pencarian pada Sabtu turut terjejas, apabila agensi vulkanologi melaporkan sekurang-kurangnya empat letusan pada waktu pagi.

Kementerian Luar Singapura dan kedutaan di Jakarta sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mendapatkan maklumat serta memberikan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang terjejas dan keluarga mereka, menurut kenyataan kementerian itu.

Ketua agensi vulkanologi Indonesia, Lana Sari berkata, pihaknya mengekalkan tahap amaran ketiga tertinggi bagi Gunung Dukono, sambil menambah penduduk dan pelancong dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam lingkungan 4 km dari kawah.

Tiada laporan gangguan penerbangan akibat letusan tersebut.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan dengan aktiviti seismik tinggi di atas beberapa plat tektonik.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×