NGO bersyukur terima lembu korban 

NGO bersyukur terima lembu korban 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Pulau Pinang yang memperjuangkan kebajikan golongan mualaf di negeri ini, bersyukur kerana menerima agihan lembu buat kali pertama untuk ibadat korban.

Pengerusinya, Ooi Chooi Ben berkata, walaupun sumbangan seekor lembu itu dilihat kecil, tetapi, ia tetap memberi makna yang besar kepada mereka.

“Pertubuhan kami baru sahaja ditubuhkan tahun lepas dan pemberian lembu korban ini memberi pengalaman baharu kepada kami yang kebanyakannya baru pertama kali menyertai ibadah korban.

“Insya-Allah, kami telah mengupah seorang jurusembelih bertauliah dan kesemua daging korban akan diagihkan kepada kira-kira 26 mualaf serta asnaf yang tinggal di sekitar Pulau Pinang terutama di Butterworth dan sebelah pulau,” katanya.

Beliau ditemui semasa menghadiri Majlis Penyerahan Lembu Korban Anjuran Bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Bandar Perda di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 36 ekor lembu diagihkan kepada 27 penerima di seluruh Pulau Pinang hasil sumbangan daripada agensi-agensi di bawah naungan KUSKOP.

Selain NGO berkaitan, turut menerima agihan tersebut ialah surau dan masjid, pasukan beruniform seperti polis, majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK), persatuan dan komuniti setempat.

Sementara itu, Pengerusi Surau Desa Wawasan Bukit Mertajam, Muhammad Sanusi Ahmad berkata, lembu korban yang diterima akan disembelih dan dilapah sebelum dimasak bersama seekor lagi lembu untuk dijadikan lauk kenduri pada Aidiladha nanti.

“Di kawasan kariah kami ada hampir 2,000 penghuni dan kami akan bergotong-royong untuk memasak daging tersebut. Kalau nak agih memang tak cukup,” katanya.

Difahamkan, ini kali pertama pengagihan lembu korban dibuat dengan kerjasama agensi-agensi di bawah KUSKOP termasuk UDA Holdings Berhad (UDA), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN