ASHDOD: Menteri keselamatan negara Israel mencetuskan kecaman antarabangsa selepas menyiarkan video memaparkan aktivis flotila ke Gaza yang ditahan dalam keadaan berlutut dengan tangan diikat dan dahi menyentuh lantai.
Video tersebut dimuat naik di platform X oleh Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir, selepas tentera Israel memintas kapal-kapal flotila dan menahan ratusan aktivis asing di pelabuhan Ashdod, selatan Israel.
Rakaman bertajuk ‘Welcome to Israel’ itu menunjukkan kumpulan aktivis dipaksa berlutut dalam keadaan tangan diikat, manakala lagu kebangsaan Israel kedengaran dimainkan di latar belakang. Ia turut memaparkan Ben Gvir berada di lokasi sambil mengejek dan mengibarkan bendera Israel.
Tindakan itu segera mencetuskan kritikan meluas di peringkat antarabangsa, termasuk daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Menteri Luar, Gideon Saar, yang menyifatkan kelakuan berkenaan tidak mencerminkan nilai serta norma negara itu.
Netanyahu berkata, tindakan terhadap aktivis terbabit ‘tidak selaras dengan nilai Israel’, sambil menegaskan mereka akan dihantar pulang ‘secepat mungkin’.
Dalam pada itu, Duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, turut mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘perbuatan keji’.
“Kecaman dan penolakan menyeluruh daripada semua pegawai kanan Israel… terhadap tindakan keji Ben Gvir. Flotila itu mungkin satu aksi bodoh, tetapi Ben Gvir mengkhianati maruah negaranya,” tulis Huckabee di X.
Pesuruhjaya Eropah, Hadja Lahbib turut mengkritik Ben Gvir, dengan berkata di X ‘tiada sesiapa sepatutnya dihukum kerana mempertahankan kemanusiaan’, manakala Belgium dan Perancis memanggil duta Israel ke ibu negara masing-masing berhubung apa yang disifatkan Paris sebagai ‘tindakan tidak boleh diterima’.
Sekitar 50 kapal di bawah konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) berlepas dari Turkiye minggu lalu dalam usaha terbaharu aktivis untuk menembusi sekatan Israel ke atas Gaza, selepas tentera Israel memintas konvoi sebelumnya bulan lalu.
Pihak berkuasa Israel berkata, 430 aktivis di atas flotila itu sedang dalam perjalanan ke Israel, manakala kumpulan hak asasi Adalah memaklumkan sebahagian mereka sudah tiba di pelabuhan Ashdod dan sedang ditahan di sana.
Kanada, Australia, New Zealand, Sepanyol, Poland dan Turkiye turut mengecam insiden tersebut, dengan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menyifatkan layanan terhadap orang awam di atas flotila itu sebagai ‘menghina’ serta berkata duta Israel akan dipanggil.
Menteri Luar Ireland, Helen McEntee, pula berkata beliau terkejut dan berasa amat marah terhadap video berkenaan, serta menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan, termasuk saudara kepada Presiden Catherine Connolly.- AFP










