Nahas Jalan Ampang: Pelajar kolej didakwa bunuh pasangan suami isteri - Utusan Malaysia

Nahas Jalan Ampang: Pelajar kolej didakwa bunuh pasangan suami isteri

DANISH Raman didakwa atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri dalam satu kemalangan maut di Jalan Ampang ketika diiringi polis trafik ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri dalam satu kemalangan maut di Jalan Ampang, Mei lalu.

Tertuduh, Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Izzah Hasan Basri.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa membunuh pasangan suami isteri, A. Doraisingam, 61, dan A. Menagha, 56, dalam kemalangan di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke Ampang Point, di sini, pada pukul 5.30 pagi, 2 Mei lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Sekiranya hukuman penjara dikenakan, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 17 Ogos sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noorhadi dan Mohamad Sharizzat Amadan manakala tertuduh diwakili peguam-peguam Devinder Kaur dan Mansheer Kaur.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pasangan suami isteri itu maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Ampang.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang pasangan suami isteri terbabit.

Sementara itu, ketika ditemui di pekarangan mahkamah, anak saudara Doraisingam berkata, keluarga mangsa masih belum menerima kunjungan mahupun permohonan maaf daripada keluarga tertuduh.

“Pakcik dan makcik saya mempunyai tiga anak berusia antara 19 hingga 26 tahun. Mereka berada dalam keadaan baik selepas kejadian itu.

“Keluarga tertuduh ada memaklumkan hasrat untuk bertemu kami, namun setakat ini pertemuan itu belum berlaku. Kami tidak mengharapkan apa-apa selain keadilan dapat ditegakkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN