Geng Acu curi kabel ECRL tumpas

Geng Acu curi kabel ECRL tumpas

AZRY Akmar Ayob (dua dari kiri) melihat barang kes yang dirampas berkait kes kecurian kabel ECRL di pekarangan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN : Polis menumpaskan kegiatan kumpulan dikenali sebagai Geng Acu yang dipercayai terlibat dalam tujuh kes kecurian kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sekitar bandar rya ini, sejak Mac lalu. 

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, lima lelaki berusia antara 29 tahun hingga 44 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di Kampung Pandan, Jaya Gading, Sungai Lembing dan Beserah antara 28 April hingga 6 Mei lalu. 

Kata beliau, empat daripada suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan mencuri kabel ECRL manakala seorang lagi bertindak sebagai pembeli barangan curi. 

“Semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini. 

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah Toyota Innova berwarna perak yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengenainya.

“Selain itu, polis merampas  kira-kira 4,000 meter kulit kabel ECRL yang dipotong, alat pemotong besi serta beberapa telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM100,000. Siasatan awal mendapati, kumpulan ini adalah kumpulan baru terlibat dalam jenayah ini,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh Mac hingga April lalu, sebanyak tujuh kes kecurian dan pemotongan kabel signal serta kabel optik ECRL dilaporkan berlaku di kawasan Gebeng, Kotasas, Gambang dan Panching dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM500,000. 

Katanya, semua suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara antara dua hingga tujuh tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN