MOT perinci insentif khas kepada pengusaha lori - Utusan Malaysia

MOT perinci insentif khas kepada pengusaha lori

ANTHONY Loke Siew Fook memeriksa keadaan dalaman sebuah lori pada Seminar Persatuan Pengusaha Pengangkutan dan Logistik Johor di Ponderosa Golf Country Resort, Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memperinci beberapa insentif khas termasuk pemberian ‘laluan ekspres’ dan pengecualian audit keselamatan kepada pengusaha lori yang berjaya peroleh pensijilan Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) 39001.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara keistimewaan itu termasuklah penyediaan lorong khas di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) serta pengecualian Audit Pemeriksaan dan Keselamatan (JISA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, langkah itu dibuat memandangkan piawaian ISO 39001 adalah lebih tinggi berbanding audit JISA, sekali gus mengelakkan pertindihan proses audit terhadap syarikat yang sama.

“Saya akan bincang dengan JPJ untuk mengecualikan syarikat yang mempunyai sijil ISO 39001 daripada audit JISA. Tidak masuk akal untuk kita buat kedua-duanya sedangkan standard ISO jauh lebih ketat.

“Ini juga membolehkan JPJ memberi tumpuan kepada pemantauan dan audit ke atas syarikat yang masih belum patuh peraturan keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Persatuan Pengusaha Pengangkutan dan Logistik Johor (JoTran) di Ponderosa Golf Country Resort, di sini hari ini.

ISO 39001 merupakan standard antarabangsa bagi sistem pengurusan keselamatan trafik jalan raya yang menyediakan kerangka kerja khusus untuk membantu organisasi mengurangkan kes kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, kemudahan lorong khas di Puspakom bagi pemegang sijil tersebut akan dimulakan di negeri ini sebagai projek rintis sebelum diperluas ke negeri lain.

Selain itu, katanya, kementeriannya juga merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) bagi membincangkan pemberian ganjaran kepada pemandu berhemah.

“Kita melihat kemungkinan meningkatkan kadar maksimum Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) daripada 55 peratus kepada kadar yang lebih tinggi. Pada masa sama, kita harap pihak insurans dapat mempertimbangkan diskaun premium khas kepada pengusaha lori yang mempunyai pensijilan ISO tersebut sebagai galakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaan kementerian untuk mengkaji cadangan memanjangkan tempoh sah permit Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi syarikat yang terbukti mengekalkan standard keselamatan tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN