Majlis Ulama Indonesia sokong Prabowo guna dana kerajaan untuk korban

Majlis Ulama Indonesia sokong Prabowo guna dana kerajaan untuk korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mempertahankan tindakan Presiden Prabowo Subianto menggunakan dana kerajaan untuk membeli lembu korban sempena Aidiladha.

Badan ulama Islam tertinggi negara itu menjelaskan, dasar tersebut dibenarkan menurut hukum Islam kerana haiwan berkenaan bertujuan untuk kepentingan awam dan bukan kegunaan peribadi.

Kenyataan itu dibuat selepas perdebatan awam tercetus mengenai keputusan Prabowo memperoleh lebih 1,000 ekor lembu menggunakan peruntukan belanjawan negara menerusi program bantuan sosial presiden.

MUI berkata, langkah itu selaras dengan prinsip fiqh Islam dan boleh dibandingkan dengan penggunaan dana perbendaharaan negara dalam tradisi Islam yang dikenali sebagai baitulmal untuk tujuan keagamaan serta sosial.

“Tiada isu dari sudut syariah,” kata Pengerusi Bahagian Fatwa MUI, Asrorun Niam Sholeh.

Niam yang juga profesor fiqh Islam di Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta berkata, amalan itu mempunyai asas kukuh dalam sejarah Islam.

Beliau merujuk kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menggalakkan pemimpin Muslim membeli haiwan korban melalui dana awam untuk manfaat masyarakat.

“Dalam konteks negara moden, belanjawan negara berfungsi sebagai bentuk moden baitulmal. “Ini bermakna ibadah korban dilakukan oleh negara untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut berhujah mekanisme itu dari segi pentadbiran adalah sama seperti program bantuan sosial kerajaan lain yang dibiayai melalui belanjawan negara, termasuk pengagihan bantuan makanan.

“Lembu-lembu itu bukan untuk kegunaan peribadi presiden atau istana. Ia diagihkan terus kepada masyarakat di seluruh negara,” katanya.

Program presiden tahun ini merangkumi pengagihan 1,098 ekor lembu ke 552 wilayah, termasuk sekolah berasrama penuh, institusi pendidikan dan organisasi sosial di seluruh Indonesia.

Timbalan Menteri Setiausaha Negara, Juri Ardiantoro berkata, 598 ekor lembu diperuntukkan kepada 38 wilayah di Indonesia serta lebih 500 daerah dan bandar, manakala 500 ekor lagi diagihkan kepada institusi agama dan komuniti.

Jumlah kos perolehan itu dilaporkan mencecah sekitar 100 bilion rupiah (RM24 juta).- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN