MELBOURNE: Satu kejadian keselamatan di Lapangan Terbang Avalon di Victoria mencetuskan panik sementara pada Khamis selepas pihak berkuasa menggerakkan unit pelupusan bom untuk memeriksa sebuah objek mencurigakan, sebelum disahkan ia hanyalah mesin pencukur laser.
Lapangan Terbang Avalon di negeri Victoria sebahagiannya dikosongkan pada awal pagi selepas barang tersebut dikesan semasa pemeriksaan keselamatan.
“Unit Respons Bom melakukan pemeriksaan terhadap satu barang, dan ia didapati adalah mesin pencukur laser,” kata polis Victoria kepada AFP dalam satu kenyataan.
Pemangku Inspektor, Nick Uebergang berkata, objek mencurigakan itu, mesin pencukur laser tersebut, bersama bekas minuman coklat panas, diletakkan di atas tali pengimbas sementara polis dipanggil.
“Individu yang membawa beg itu pada mulanya tidak begitu memberi kerjasama, yang menyebabkan sedikit kesukaran kepada kami,” katanya.
Insiden itu menyebabkan beberapa penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan.
Lelaki tersebut tidak didakwa dan lapangan terbang kembali dibuka semula pada hari yang sama.
Dalam satu kenyataan, pihak lapangan terbang mengesahkan barang tersebut tidak lagi dianggap sebagai risiko.
“Tindakan hari ini menunjukkan kewaspadaan proses saringan dan keselamatan, dengan langkah berjaga-jaga diambil segera bagi memastikan keselamatan penumpang, kakitangan dan komuniti lebih luas,” kata jurucakapnya.- AFP










