WASHINGTON: Rangkaian pertahanan peluru berpandu Golden Dome yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijangka menelan kos jauh lebih tinggi daripada anggaran awal, menurut analisis yang dikeluarkan Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) pada Selasa.
Agensi itu menganggarkan kos pembangunan, penempatan dan penyelenggaraan sistem berkenaan sepanjang tempoh 20 tahun mencecah kira-kira AS$1.2 trilion (RM4.7 trilion).
Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding anggaran AS$175 bilion (RM687 bilion) yang dikemukakan Trump tahun lalu sejurus selepas beliau memegang jawatan.
Menurut CBO, sebahagian besar kos iaitu melebihi AS$1 trilion diperuntukkan bagi perolehan, termasuk pelbagai lapisan sistem pemintas, sistem amaran awal dan pengesanan berasaskan angkasa lepas, selain penyelidikan serta pembangunan.
Laporan tidak berpihak itu mendapati sistem pemintas berasaskan angkasa lepas menyumbang kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kos perolehan dan 60 peratus daripada jumlah kos keseluruhan projek.
Setakat ini, hanya kira-kira AS$24.4 bilion (RM95.8 bilion) diluluskan Kongres bagi program berkenaan.
Sistem itu bertujuan melindungi sepenuhnya AS termasuk Alaska dan Hawaii, dengan Trump dalam perintah eksekutif bertarikh 27 Januari 2025 menyatakan ancaman serangan peluru berpandu balistik, hipersonik dan kruis, serta serangan udara canggih lain, kekal sebagai ancaman paling dahsyat yang dihadapi AS.
“Sepanjang 40 tahun lalu, ancaman daripada senjata strategik generasi baharu bukan semakin berkurangan, sebaliknya menjadi lebih serius dan kompleks susulan pembangunan sistem penghantaran generasi baharu oleh kuasa setara dan hampir setara, selain keupayaan pertahanan udara serta peluru berpandu bersepadu mereka sendiri,” katanya.
CBO mengakui anggarannya rumit disebabkan kekurangan butiran mengenai saiz dan skop program daripada Pentagon, sekali gus menjadikan mustahil untuk menganggarkan kos jangka panjang sistem GDA yang sedang dipertimbangkan Jabatan Pertahanan (DoD).
Pejabat itu menggunakan singkatan GDA bagi merujuk kepada ‘Golden Dome for America’, satu lagi nama bagi program berkenaan.
“Tanpa pelan khusus bagi seni bina objektif GDA, CBO menganggarkan kos berdasarkan seni bina sistem pertahanan peluru berpandu nasional secara hipotesis yang dibina berasaskan sistem dan keupayaan pertahanan seperti digariskan dalam perintah eksekutif itu,” menurut laporan berkenaan.- ANADOLU










