NEW DELHI: Menteri luar negara anggota BRICS, termasuk Iran dan Russia, berhimpun di India hari ini dengan konflik di Asia Barat serta krisis bahan api dijangka menjadi fokus utama perbincangan.
India yang mempengerusikan BRICS tahun ini menjadi tuan rumah kepada mesyuarat dua hari blok ekonomi yang diperluaskan itu, dan kini turut disertai Iran serta Emiriah Arab Bersatu (UAE), dua negara yang mempunyai pendirian berbeza berhubung konflik dicetuskan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu.
Jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal berkata, mesyuarat itu akan menumpukan kepada ‘isu global dan serantau yang berkepentingan bersama’.
Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, tiba di New Delhi lewat semalam, menurut Kedutaan Iran di India.
Sementara itu, Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, turut menghadiri pertemuan berkenaan dan sempat mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari India, Subrahmanyam Jaishankar, sejurus tiba di New Delhi malam tadi.
Jaishankar dalam satu kenyataan berkata, perbincangan mereka turut merangkumi isu ‘perdagangan dan pelaburan, tenaga serta kesalinghubungan’, selain isu global dan pelbagai hala.
“Kerjasama politik kita menjadi lebih bernilai dalam persekitaran global yang tidak menentu dan tidak stabil,” katanya lagi.
Gangguan di laluan perkapalan Teluk dan Selat Hormuz terus mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran minyak dan gas, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap ekonomi yang bergantung kepada import tenaga termasuk India.
Konflik membabitkan Iran turut memberi tekanan kepada ekonomi India yang banyak bergantung kepada bekalan tenaga dan import baja dari Asia Barat, selain menimbulkan ketidaktentuan terhadap prospek pertumbuhan New Delhi.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform bagi ekonomi utama sedang pesat membangun untuk mendapatkan pengaruh lebih besar dalam institusi yang didominasi kuasa Barat.
Kumpulan itu pada asalnya dianggotai Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan, kemudian diperluaskan apabila negara anggota berusaha meningkatkan pengaruh politik serta ekonomi blok itu di peringkat global.
BRICS kini turut dianggotai Mesir, Ethiopia, Iran, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun masih belum jelas sama ada wakil dari semua negara anggota akan menghadiri mesyuarat itu.
Kementerian Luar India berkata, negara itu akan menganjurkan sidang kemuncak pemimpin BRICS lewat tahun ini, manakala menteri luar yang hadir juga dijadual bertemu Perdana Menteri, Narendra Modi.
Dengan wujud perbezaan ketara dalam kalangan beberapa anggota, termasuk berhubung perang di Asia Barat dan kritikan terhadap kuasa Barat, masih belum dapat dipastikan sama ada kenyataan bersama akan dikeluarkan pada akhir mesyuarat itu.
“Kami akan memaklumkan perkembangan selanjutnya dari semasa ke semasa,” kata jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal.










