IPOH: Kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan melampaui batas sebagai rakyat Malaysia.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Halim Nayan berkata, kenyataan itu juga dilihat cuba mencabar asas-asas penting dalam sistem Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan Persekutuan.
“Suka saya ingatkan, Malaysia bukan negara yang dibina atas emosi politik sempit atau ideologi songsang yang bebas menghina sesuka hati institusi negara.
“Negara ini dibina atas lunas Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan penghormatan kepada institusi raja-raja Melayu yang menjadi payung kepada kestabilan negara sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini hari ini.
Armada Bersatu Perak tampil membuat laporan polis bagi mendesak siasatan segera dijalankan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Tony yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP.
Mengulas lanjut, Halim berkata, tindakan mana-mana pihak mempersoalkan prinsip kesetiaan kepada raja dan negara mengikut selera politik adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam keharmonian negara.
Beliau berkata, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian terhadap sistem negara dan mencabar institusi yang menjadi tunjang kestabilan Malaysia.
“Kami mendesak pihak polis agar menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Hasutan atau mana-mana peruntukan undang-undang tanpa kompromi.
“Tindakan membuat laporan polis ini bukan soal politik murahan, tetapi demi mempertahankan maruah Perlembagaan, kestabilan negara dan menghormati asas kenegaraan yang menjadi tunjang perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu beliau mengingatkan mana-mana pihak agar tidak sesekali menormalisasikan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara atas nama kebebasan bersuara.
“Apa pun perkara ada batasnya. Negara ini mempunyai Perlembagaan dan raja-rajanya. Bagi pihak Armada Bersatu Perak, kami akan terus berada di barisan hadapan untuk mempertahankan institusi diraja,” katanya.
Semalam, bekas wakil rakyat daripada DAP itu dilapor berkata, kuasa raja secara keseluruhan di bawah sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini adalah terhad.
Beliau mendakwa, sistem itu terhad kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). – UTUSAN










