KUALA LUMPUR: Kecekapan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menggunakan ilmu pertolongan cemas untuk menyelamatkan rakannya yang lemas menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan Pingat Keberanian oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
Penerima pingat itu, Farish Danish Zulfadhli dari Langkawi, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama menerima anugerah itu dalam tempoh kira-kira tiga dekad.
Faris berkata, dorongan utamanya adalah untuk meringankan beban orang lain dan memastikan rakannya itu kembali pulih seperti sediakala melalui bantuan pernafasan kecemasan (CPR) yang dipelajarinya dalam BSMM.
“Saya ingat semula apa yang cikgu ajar waktu itu dan ketika kejadian berlaku, saya cuma ulang balik apa yang dipelajari,” katanya di Majlis Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2026 di sini hari ini.
Katanya nilai kemanusiaan seharusnya diamalkan oleh semua pihak dengan membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
“Kalau ada orang susah atau minta tolong, kita bantu sahaja supaya pahala lebih masuk,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan BSMM, Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, penganugerahan itu adalah berdasarkan kriteria kecemerlangan luar biasa serta keberanian unik yang ditunjukkan.
“Ini adalah amanah saya yang paling tinggi untuk mengiktiraf khidmat beliau dengan pemberian Pingat Keberanian yang saya tidak ada rekod lagi siapa terakhir menerimanya.
“Kejayaan itu membuktikan bahawa nilai kemanusiaan dan ilmu menyelamat boleh diaplikasikan oleh sesiapa sahaja, bukan hanya oleh mereka yang memakai pakaian seragam,” katanya.
Beliau berkata, pendidikan kemanusiaan dan kemahiran bantuan awal perlu dipupuk sejak dari rumah dan peringkat sekolah lagi demi kebaikan masyarakat.
Sambutan bertemakan United Humanity itu turut meraikan jasa sukarelawan dan warga kerja BSMM daripada 191 buah negara yang terus berbakti tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan. – UTUSAN







