PETALING JAYA: Sebanyak dua unit ambulans pacuan empat roda (4×4) disumbangkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bagi meningkatkan keupayaan operasi kecemasan dan bantuan kemanusiaan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Mustakim Mohamad berkata, sumbangan bernilai RM570,000 itu disalurkan melalui dana zakat wakalah Tabung Haji.
Katanya, ambulans 4×4 berkenaan direka untuk digunakan di kawasan pedalaman, laluan berbukit, lokasi banjir serta situasi bencana yang tidak boleh dimasuki ambulans konvensional.
“Ambulans ini dilengkapi peralatan perubatan penting seperti alat resusitasi, bekalan oksigen, Defibrilator Luaran Automatik (AED) serta kit trauma. Ambulans ini berfungsi sebagai ruang rawatan bergerak yang mampu mengendalikan pelbagai kecemasan sebelum mangsa dipindahkan ke hospital.
“Ia juga sesuai digunakan dalam operasi besar seperti banjir, tanah runtuh, misi mencari dan menyelamat serta bantuan komuniti luar bandar. Dengan penyerahan ambulans 4×4 ini, kami berharap lebih ramai mangsa dapat dibantu dengan lebih cepat dan berkesan, terutama di kawasan yang sukar dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung BSMM, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan tersebut dan menyifatkan ambulans 4×4 itu sebagai aset penting yang meningkatkan fleksibiliti serta keupayaan tindak balas pasukan kecemasan.
“Ambulans ini memberi kami kemampuan bergerak lebih baik dan memastikan mangsa menerima rawatan segera dan selamat. Sokongan TH amat kami hargai kerana ia mengukuhkan usaha kemanusiaan yang menjadi teras perjuangan BSMM,” katanya. – UTUSAN










