PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menafikan dakwaan dan penularan kenyataan palsu di media sosial yang mengaitkan JPPM Negeri Sarawak dan pegawai jabatan berhubung pengurusan serta pentadbiran Pertubuhan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA).
JPPM berkata, segala keputusan yang dibuat adalah sepenuhnya mengikut peruntukan Akta Pertubuhan 1966, perlembagaan pertubuhan, prosedur pentadbiran yang berkuat kuasa serta penelitian terhadap dokumen dan representasi yang dikemukakan.
Katanya, JPPM tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap mana-mana pertubuhan berdaftar, manakala pertikaian dalaman adalah tanggungjawab pertubuhan berkenaan untuk diselesaikan mengikut perlembagaan masing-masing.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
“JPPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam usaha mengesan individu yang terlibat serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPPM turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan, berkongsi atau mempercayai sebarang maklumat yang tidak disahkan kesahihannya.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya merujuk kepada saluran rasmi jabatan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih. – UTUSAN










