Israel sasar ketua baharu sayap bersenjata Hamas

Israel sasar ketua baharu sayap bersenjata Hamas

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel mendakwa melancarkan serangan terhadap ketua sayap bersenjata Hamas yang baharu dilantik beberapa hari lalu selepas pasukan rejim membunuh pemimpin terdahulu, ketika tekanan ketenteraan di Gaza dipertingkat dan operasi darat di Lubnan diperluaskan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam kenyataan mendakwa, tenteranya menyerang Mohammad Odeh, yang dikatakan sebagai ketua baharu sayap bersenjata Hamas di Gaza.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut dan menyatakan sama ada Mohammad terbunuh dalam serangan tersebut.

Pegawai kesihatan Gaza berkata, tiga individu termasuk seorang wanita terbunuh, manakala lebih 20 lagi cedera dalam serangan Israel yang memusnahkan tingkat atas sebuah bangunan apartmen di kawasan kejiranan Rimal, Gaza City.

Pasukan penyelamat masih berada di lokasi kejadian bagi mengesan kemungkinan mangsa lain yang terperangkap.

Setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan tersebut.

Netanyahu mendakwa, Mohammad mengetuai bahagian risikan Hamas ketika serangan rentas sempadan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 dan dilantik kira-kira seminggu lalu bagi menggantikan Izz al-Din al-Haddad, ketua sayap bersenjata kumpulan itu yang dibunuh pada 15 Mei.

Sumber yang rapat dengan Hamas tidak mengesahkan pelantikan Mohammad sebagai ketua baharu sayap ketenteraan kumpulan itu, namun bersetuju beliau dilihat sebagai pengganti berpotensi kepada Haddad susulan peranannya sebagai ketua risikan ketenteraan Hamas dan kemungkinan anggota terakhir yang masih hidup dalam majlis kepimpinan tertinggi sayap bersenjata kumpulan berkenaan.

Beberapa jam sebelum serangan itu, Israel mengumumkan perluasan operasi daratnya di Lebanon.

Israel kini dilihat memperhebat aktiviti ketenteraan di beberapa medan serentak.

Israel dan Hamas juga masih buntu dalam rundingan tidak langsung mengenai pelaksanaan fasa kedua perjanjian, termasuk isu pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel.

Gencatan senjata yang dipersetujui pada Oktober lalu menyaksikan Israel menguasai lebih separuh wilayah Gaza, manakala Hamas hanya mengawal sebahagian kecil kawasan pantai.

Menurut pegawai kesihatan Gaza, kira-kira 900 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN