BEIRUT: Tentera Israel menggesa penduduk di sembilan kampung di selatan Lubnan supaya segera berpindah pada Sabtu menjelang serangan yang dijangka dilancarkan terhadap Hizbullah, walaupun gencatan senjata dengan Lubnan masih berkuat kuasa bagi menghentikan pertempuran.
“Susulan pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh kumpulan pengganas Hizbullah, IDF terpaksa bertindak tegas terhadapnya.
“Demi keselamatan, anda mesti meninggalkan rumah dengan segera dan berada sekurang-kurangnya 1,000 meter dari kampung dan bandar ke kawasan terbuka,” kata jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, dalam hantaran di X sambil menyenaraikan sembilan kampung.
Walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak pertengahan April, tentera Israel dan Hizbullah yang disokong Iran terus berbalas tembakan setiap hari, kebanyakannya di selatan Lubnan.
Dalam kenyataan terdahulu, tentera Israel berkata, pihaknya menyerang lebih 85 lokasi infrastruktur Hizbullah ‘melalui udara dan darat’ dalam tempoh 24 jam lalu.
Menurut tentera Israel, sasaran itu termasuk kemudahan penyimpanan senjata, pelancar dan struktur yang digunakan Hizbullah untuk menjalankan aktiviti pengganas terhadap orang awam Israel dan anggota IDF.
Tentera Israel turut memaklumkan mereka menyerang tapak pengeluaran senjata Hizbullah di Lembah Beqaa di timur Lubnan, selain kumpulan yang didakwa ‘menjalankan aktiviti pengganas terhadap anggota IDF yang beroperasi di selatan Lubnan’.
Pada Jumaat, Hizbullah berkata, ia melancarkan peluru berpandu dan dron ke pangkalan tentera di Israel sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu di Beirut dan serangan berterusan di selatan Lubnan.
Pihak berkuasa Lubnan melaporkan 11 orang terbunuh dalam serangan Israel di selatan negara itu pada Jumaat.- AFP










