DUBLIN: Ireland berhasrat untuk meluluskan undang-undang yang mengekang perdagangan barangan dengan penempatan di Tebing Barat yang diduduki Israel menjelang pertengahan Julai.
Menteri Luar Ireland, Helen McEntee pada Selasa berkata, langkah itu bagaimanapun ditentang oleh beberapa wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan perniagaan.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pendirian tegas Ireland terhadap perang Israel di Gaza, selepas kerajaan Dublin pertama kali berjanji pada Oktober 2024 untuk mengenakan sekatan ke atas penempatan haram Israel.
Namun, rang undang-undang (RUU) itu tertangguh akibat tekanan daripada ahli politik pembangkang yang mahu memperluaskan larangan kepada perdagangan perkhidmatan, serta pelobi syarikat antarabangsa yang mahu RUU itu ditarik balik.
Menurut sumber kepada Reuters, rang undang-undang tersebut dijangka hanya melibatkan barangan.
Perdana Menteri, Michael Martin, turut mengesahkan perkara itu minggu lalu dan berkata perluasan skop kepada perkhidmatan ‘tidak boleh dilaksanakan’ atau ‘tidak berdaya maju’.
Mengehadkan rang undang-undang itu kepada barangan sahaja dijangka hanya menjejaskan beberapa produk import dari wilayah pendudukan Israel di Tebing Barat, termasuk buah-buahan, yang bernilai sekitar 200,000 euro (RM930,715) setahun, menurut Pejabat Perangkaan Pusat Ireland.
Kumpulan perniagaan memberi amaran perluasan skop kepada perkhidmatan boleh menyebabkan syarikat multinasional asing terperangkap dalam sekatan yang tidak praktikal untuk dilaksanakan.
“Kami secara konsisten menyokong penyelesaian aman… tetapi jelas daripada tindakan yang diambil kerajaan Israel baru-baru ini, khususnya peningkatan keganasan peneroka di Tebing Barat serta keganasan berterusan di Lubnan, mereka tidak menunjukkan keinginan untuk mengambil jalan ini,” kata McEntee kepada pemberita.
Gabungan pemerintah sayap kanan Israel ‘menghalalkan’ perluasan penempatan haram secara pesat, dengan beberapa menteri secara terbuka menyokong penjajahan Tebing Barat.
Keganasan oleh peneroka terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel dilaporkan meningkat sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023.
McEntee berkata minggu lalu, beliau berharap undang-undang itu dapat diluluskan bersama Belgium, Belanda dan mungkin Slovenia, yang turut komited memperkenalkan larangan serupa.
Sepanyol telah pun melaksanakan sekatan seumpamanya, menjadi satu-satunya negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang berbuat demikian setakat ini.- AGENSI










