JOHOR BAHRU: Seorang inspektor polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM8,000 agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah premis urut, pada tahun 2024 dan 2025.
Tertuduh, Ihsan Zaidani Hassan, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd. Azhar Othman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang bertugas sebagai Ketua Balai Polis Sungai Rengit ketika itu bersetuju menerima wang berjumlah RM8,000 daripada seorang individu yang diketahui berkaitan dengan tugasnya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas perniagaan Thai Traditional Massage di Taman Molek dan Taman Pelangi, di sini antara 5 Disember 2024 hingga 17 April 2025.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 selain menetapkan tarikh 10 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang konstabel turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta dan menerima wang berjumlah RM13,505 agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dipercayai mempunyai kesalahan berkaitan dadah pada Jun tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Jefri Din, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim sama.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah meminta dan menerima wang tunai daripada dua individu berasingan berjumlah RM13,505 di tempat letak kenderaan sebuah pangsapuri di Larkin dan Jalan Ulu Air Molek, di sini pada 26 Jun lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 selain tarikh 3 Julai depan untuk sebutan semula kes.










