AS dedah 42 pesawat Amerika bernilai lebih RM1 trilion musnah dalam perang Iran - Utusan Malaysia

AS dedah 42 pesawat Amerika bernilai lebih RM1 trilion musnah dalam perang Iran

SEBUAH pesawat tentera udara AS musnah dalam perang Iran di Pangkalan Udara Prince Sultan, Arab Saudi, 27 Mac lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Empat puluh dua pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan hilang atau rosak dalam perang dengan Iran, termasuk tiga jet pejuang bernilai AS$300 juta (RM1.19 trilion) yang musnah akibat insiden tembakan rakan sendiri, menurut satu laporan Kongres AS.

Menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS, sebanyak 32 pesawat dilaporkan musnah, termasuk 24 dron MQ-9 Reaper yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$30 juta (RM119 juta) setiap sebuah sejak perang bermula pada 28 Februari.

Jumlah itu turut merangkumi empat jet pejuang F-15E Strike Eagle, dengan tiga daripadanya ditembak jatuh oleh pertahanan udara Kuwait dalam insiden ‘tembakan tersilap’ pada 1 Mac. 

Sebuah lagi ditembak jatuh oleh pasukan Iran pada 3 April, yang mencetuskan apa yang Presiden Donald Trump sifatkan sebagai operasi paling berani dalam sejarah AS untuk menyelamatkan juruterbang dan pegawai sistem senjata.

Dua pesawat MC-130J Commando II, iaitu versi khas yang diubah suai daripada Super Hercules untuk operasi rahsia, sengaja dimusnahkan di Iran semasa misi menyelamat selepas tidak lagi boleh berlepas.

Sebuah jet serangan darat A-10 Warthog turut ditembak jatuh oleh tembakan Iran semasa operasi yang sama.

Sebuah pesawat pengisi minyak udara KC-135 Stratotanker milik Tentera Udara AS terhempas di Iraq pada 12 Mac, menyebabkan kesemua enam anak kapal terkorban.

Sepuluh lagi pesawat dilaporkan rosak dalam Operasi Kemaran Epik, termasuk enam yang berada di darat di Pangkalan Udara Prince Sultan, Arab Saudi, ketika serangan peluru berpandu dan dron Iran berlaku.

Antara yang terjejas ialah pesawat amaran awal dan kawalan udara E-3 Sentry, salah satu aset pengawasan paling penting Tentera Udara AS, yang diletakkan di landasan ketika peluru berpandu Iran menyerang pangkalan tersebut.

Sebuah helikopter HH-60W Jolly Green II turut rosak akibat tembakan senjata kecil semasa misi mencari dan menyelamat juruterbang F-15E Strike Eagle yang terhempas. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN