Biasa beraksi di pentas, sebab itu mereka dipilih - Mimi Lana - Utusan Malaysia

Biasa beraksi di pentas, sebab itu mereka dipilih – Mimi Lana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Mimi Lana berpendapat pemilihan Aisha Retno dan Mila Mohsin sebagai Gusti Puteri Raden Ajeng Retno Dumilah dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) tidak wajar dipertikaikan kerana kedua-duanya mempunyai pengalaman pentas yang diperlukan untuk teater muzikal berkenaan.

Menurut Mimi atau  Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, kedua-dua pelakon itu memiliki kelebihan dari segi nyanyian dan tarian yang menjadi elemen penting dalam sesebuah pementasan muzikal, walaupun Mila merupakan anak kepada penerbit teater tersebut.

“Kalau saya ada anak pun, saya akan panggil anak sendiri untuk jadi PGLM. Kalau saya pernah jadi PGL dan anak saya boleh berlakon, sudah tentu saya akan beri peluang kepadanya.

“Lagipun produksi itu memang milik dia (Tiara). Tetapi selain faktor itu, saya rasa mereka memang layak dipilih untuk watak utama.

“Mereka sudah biasa berada di pentas. Aisha Retno pula memang tidak perlu disangkal lagi kebolehannya di atas pentas. Jadi saya rasa tiada masalah,” katanya.

Mimi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media tayangan filem Polong di 10 Star Cinema, Hextar World, Empire City, Damansara, semalam.

Dalam pada itu, Mimi mengakui turut menghadiri sesi uji bakat bagi watak berkenaan, namun menyifatkan proses pemilihan tersebut sebagai mencabar kerana memerlukan peserta menguasai nyanyian dan tarian dalam tempoh singkat.

“Proses uji bakat PGLM memang sangat susah. Saya rasa pemilihan untuk watak PGL itu memang dibuat dengan sebaiknya.

“Mereka yang dipilih pula memang individu yang sudah biasa di atas pentas. Saya pula lebih banyak berlakon filem dan tidak begitu biasa dengan persembahan teater.

“Saya boleh menyanyi, tetapi belum pernah menyanyi di hadapan khalayak ramai. Jadi mungkin ia agak sukar untuk saya,” katanya.

Walaupun tidak berjaya membawakan sebarang watak dalam pementasan tersebut, Mimi tetap menganggap pengalaman menghadiri sesi uji bakat itu sebagai sesuatu yang bermakna.

“Saya tidaklah kecewa, cuma bila benda yang kita mahu tidak dapat, mestilah ada sedikit rasa terkilan.

“Tetapi sejujurnya saya sangat seronok menghadiri sesi uji bakat itu. Baru saya tahu bagaimana proses untuk ke pentas teater.

“Dalam tempoh kurang seminggu saya perlu menghafal dialog, menyanyi dan menari. Jadi walaupun saya hanya ‘jadi PGL’ selama dua atau tiga hari, insya-Allah saya akan cuba lagi jika ada peluang pada masa depan,” katanya.

Terdahulu, media sosial kecoh apabila segelintir netizen mempertikaikan pemilihan Aisha Retno dan Mila Mohsin yang didakwa tidak layak membawakan watak penting Gusti Puteri Raden Ajeng Retno Dumilah.

Malah, timbul dakwaan bahawa Mila dipilih kerana merupakan anak kepada Tiara Jacquelina, bukannya berdasarkan kelayakan sebagai pelakon. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN