India naikkan harga petrol, diesel selepas empat tahun

India naikkan harga petrol, diesel selepas empat tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Kilang penapis minyak milik kerajaan India menaikkan harga bahan api buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, susulan kenaikan harga minyak mentah yang didorong oleh perang Iran serta peningkatan kos yang menjejaskan operasi pemprosesan minyaknya.

Harga diesel dan petrol masing-masing meningkat lebih tiga peratus, kenaikan sederhana berbanding lonjakan hampir 50 peratus harga minyak mentah Brent sejak konflik bermula.

Di New Delhi, diesel kini dijual pada 90.67 rupee (RM3.73) seliter, manakala petrol pada 97.77 rupee (RM4.02) selitrer, paras tertinggi sejak Mei 2022.

India, pengimport minyak ketiga terbesar dunia, bergantung kepada pasaran tenaga global serta bekalan dari rantau Teluk Parsi.

Dalam krisis, kerajaan biasanya memberi keutamaan kepada perlindungan 1.4 bilion penduduk yang sensitif terhadap harga serta mengawal inflasi, namun kenaikan pada Jumaat menunjukkan ia mula menyeimbangkan semula keadaan ketika tekanan fiskal dan pasaran semakin meningkat.

Bagaimanapun, kenaikan itu masih belum memenuhi jangkaan syarikat minyak utama milik kerajaan India, Indian Oil Corp., Bharat Petroleum Corp. dan Hindustan Petroleum Corp., yang dilaporkan menanggung kerugian sekitar 10 bilion rupee sehari daripada jualan bahan api.

Menurut ahli ekonomi Motilal Oswal Financial Services, Radhika Piplani, peruncit bahan api masih berdepan jurang kerugian antara 15 hingga 20 rupee bagi setiap liter jualan.

Saham syarikat penapisan utama itu turut jatuh pada awal dagangan di Mumbai pada Jumaat. Saham Hindustan Petroleum susut sehingga 2.9 peratus, manakala Bharat Petroleum dan Indian Oil masing-masing turun lebih 1 peratus.

Di sektor swasta pula, petrol di stesen Shell dijual melebihi 110 rupee (RM4.52) seliter, sementara diesel hampir 120 rupee (RM4.93) seliter.

Peruncit bahan api milik kerajaan di India menguasai kira-kira 90 peratus stesen minyak di negara itu dan secara teorinya bebas menetapkan harga jualan. Namun kerajaan sebagai pemegang saham majoriti mengekalkan harga runcit bahan api tanpa perubahan sejak Mac 2024.

Diesel menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan jualan bahan api India, manakala petrol melebihi 17 peratus. Harga runcit pula berbeza mengikut negeri susulan cukai nilai tambah tempatan.

Kenaikan harga pada Jumaat itu dibuat selepas kerajaan mengurangkan cukai bahan api pada Mac bagi memberi sedikit kelegaan kepada syarikat penapisan, namun langkah tersebut masih belum mampu menampung kerugian dialami.- BLOOMBERG

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN