NEW YORK: Hampir 50 negara mengutuk ancaman Russia terhadap kedutaan asing di Ukraine menerusi satu kenyataan bersama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.
Russia pada Isnin menggesa Washington memindahkan kedutaannya di Kyiv, termasuk mengancam melancarkan ‘serangan sistematik’ ke atas ibu negara Ukraine itu, selain mengeluarkan amaran sama kepada beberapa misi diplomatik lain.
“Kami turut mengecam ancaman terbaharu Russia terhadap institusi diplomatik dan kedutaan di Kyiv. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” menurut kenyataan bersama yang disampaikan wakil Ukraine ke PBB, Andriy Melnyk.
Kenyataan tersebut ditandatangani negara-negara Eropah, Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara lain. Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) tidak termasuk dalam kalangan penandatangan.
Serangan besar-besaran Russia pada hujung minggu lalu yang melibatkan puluhan dron dan peluru berpandu mengorbankan empat individu serta menyebabkan kerosakan meluas di Kyiv.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut menyuarakan kebimbangan terhadap serangan tersebut.
“Saya amat bimbang dengan pengumuman terbaharu Russia untuk melancarkan serangan konsisten dan sistematik terhadap perusahaan pertahanan Ukraine di Kyiv, selain pusat membuat keputusan dan pos kawalan susulan laporan serangan dron Ukraine ke atas bangunan kolej serta asrama di bandar Starobilsk yang kini diduduki Moscow.
“Kini, penting untuk mengelakkan sebarang peningkatan konflik yang mengorbankan ramai orang awam dan berisiko menjadikan usaha mencapai keamanan semakin sukar,” kata Guterres kepada Majlis Keselamatan PBB.
Antara senjata yang digunakan Russia dalam serangan hujung minggu lalu termasuk peluru berpandu hipersonik Oreshnik, yang menurut Moscow mampu bergerak 10 kali ganda kelajuan bunyi dan berupaya membawa kepala peledak nuklear.- AFP










