Hakim Danish tempah petak ke-12 pada kelayakan GP Perancis

Hakim Danish tempah petak ke-12 pada kelayakan GP Perancis

Hakim Danish bermula di petak ke-12 pada perlumbaan sebenar GP Perancis di Litar Le Mans, Perancis, esok. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba negara, Hakim Danish Ramli perlu bekerja keras pada perlumbaan sebenar, esok, selepas menempah petak ke-12 dalam sesi kelayakan bagi kelas Moto3 pada Grand Prix (GP) Motosikal Perancis di Litar Le Mans, Perancis, hari ini.

Anak jati Terengganu yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mencatat masa sepusingan 1 minit 40.761 saat untuk memulakan saingan di barisan keempat.

Pelumba Leopard Racing, Adrian Fernandez dari Sepanyol mengungguli saingan kelayakan tersebut dengan lakaran masa sepusingan terpantas 1:40.044s.

Rakan senegaranya, Maximo Quiles yang bernaung di bawah pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team di kedudukan kedua (1:40.184s), manakala, tempat ketiga menjadi milik pelumba Australia, Joel Kelso dari pasukan GRYD-Mlav Racing (1:40.204s).

Hakim Danish yang ditimpa kemalangan sewaktu sesi latihan bebas kedua (FP2) sebelum saingan kelayakan, kini menghuni tangga ke-15 keseluruhan dengan 12 mata berjaya diraihnya.

Pelumba berasal dari Terengganu itu memiliki pengalaman beraksi di Le Mans dan seharusnya selok belok litar tersebut sudah dapat dihadamnya bagi menghadirkan tentangan yang baik dalam perlumbaan, esok.

Untuk musim pertama selaku pelumba tetap, Hakim Danish sebenarnya berjaya mempamerkan prestasi yang baik dengan tiga daripada empat pusingan yang telahpun selesai menyaksikan anak muda berusia 18 tahun itu berada dalam kedudukan mata.

Kecuali pada saingan pembuka musim di GP Thailand, Hakim Danish gagal meraih sebarang mata selepas dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera dan juga persaingan sengit dalam kejuaraan dunia.

Dengan sasaran satu podium bagi musim pertamanya, Hakim Danish telah mula menunjukkan peningkatan prestasi dan kefahaman yang baik untuk bersaing dengan pelumba-pelumba dalam kelas Moto3.

Sokongan pasukan juga penting, terutama dalam membantu Hakim Danish membuat keputusan bagi memilih tayar dan pelarasan jentera yang sesuai dalam setiap pusingan yang disertainya. – UTUSA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN