Bagnaia raih petak utama GP Perancis

Bagnaia raih petak utama GP Perancis

BAGNAIA ketika aksi kelayakan GP Perancis di Le Mans. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LE MANS: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia tampil garang apabila menewaskan rakan sepasukan, Marc Marquez untuk meraih petak utama Grand Prix Perancis, hari ini..

Bagnaia mencatat masa terpantas satu minit 29.634 saat sekali gus mengetepikan Marc Marquez dengan kelebihan tipis 0.012 saat di Litar Bugatti, Le Mans.

Kejayaan itu turut menyaksikan juara dunia dua kali dari Itali tersebut menamatkan penantian panjang untuk meraih petak utama pertamanya sejak Grand Prix Malaysia musim lalu.

“Saya memang sangat gembira kerana musim ini saya agak bergelut dalam sesi kelayakan, namun kami akhirnya menemui sesuatu yang membantu meningkatkan prestasi jentera,” kata Bagnaia.

Pelumba Ducati itu sebelum ini melalui permulaan musim yang tidak menentu selepas gagal menamatkan dua daripada empat perlumbaan setakat ini.

Sementara itu, pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi melengkapkan barisan hadapan apabila hanya 0.011 saat lebih perlahan berbanding Marc Marquez.

Rentetan lima kemenangan berturut-turut Bezzecchi dalam saingan MotoGP pula terhenti bulan lalu selepas ditewaskan Alex Marquez di Grand Prix Sepanyol.

Marc Marquez yang juga juara dunia bertahan terus bergelut dengan isu konsistensi musim ini apabila sudah dua kali terbabas dan kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan ketinggalan 44 mata di belakang Bezzecchi.

Pelumba Sepanyol berusia 33 tahun itu bagaimanapun tetap mencuri tumpuan apabila mencipta rekod litar dalam sesi kelayakan pertama selepas gagal berada dalam kelompok 10 terbaik pada sesi latihan semalam.

“Saya sendiri tidak faham bagaimana saya boleh begitu pantas dalam Q1, namun apa yang mengecewakan ialah saya masih gagal mengekalkan prestasi secara konsisten. Saya perlu bekerja lebih keras untuk memahami apa yang perlu diperbaiki,” kata Marquez. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN