Wakil kedutaan Amerika Syarikat tanya calon PM dari Pas - Abdul Hadi

Wakil kedutaan Amerika Syarikat tanya calon PM dari Pas – Abdul Hadi

ABDUL Hadi Awang (kanan) semasa menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putii), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan .- UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, wakil kedutaan Amerika Syarikat (AS) pernah bertanya siapakah calon Perdana Menteri yang dicadangkan parti itu ketika satu pertemuan di Kedutaan AS di Malaysia.

Beliau berkata, pertanyaan itu dikemukakan kepadanya selepas dua pemimpin Pas iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, terlebih dahulu diatur untuk bertemu duta berkenaan.

“Dia tanya, siapa Pas cadang jadi Perdana Menteri? Saya kata, siapa AS setuju? Tergamam dia!

“Saya jawab, ‘Siapa Amerika setuju siapa dia? Amerika sokong siapa dia?’ Itu jawapan daripada saya,” katanya ketika menceritakan pengalaman berkenaan semasa ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Beliau berkata, pertemuan itu berlaku ketika Pas masih berada dalam gabungan bersama parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR) semasa lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia.

Katanya, Takiyuddin dan Ahmad Samsuri yang ketika itu merupakan Ketua Setiausaha Politiknya ke Kedutaan AS untuk bertemu Duta AS selepas pertemuan itu diatur.

Abdul Hadi mendakwa, dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin Pas berkenaan dimaklumkan mengenai kemungkinan untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih kerajaan, selain AS dikatakan sanggup membantu.

Bagaimanapun, katanya, Takiyuddin dan Ahmad Samsuri kekal istiqamah serta tidak terpengaruh dengan perkara berkenaan.

“Dua-dua orang kita ini istiqamah. Pasal tak terpengaruh,” ujarnya.

Abdul Hadi berkata, selepas itu Duta AS meminta untuk bertemu dengannya dan beliau hadir bersama Datuk Mustafa Ali.

Katanya, ketika pertemuan tersebut, beliau tidak melihat persoalan mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri sebagai perkara utama untuk diberi perhatian.

Abdul Hadi memberitahu, beliau turut menyebut nama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mendapat respons bahawa ia bagus.

“Yang nak sibuk-sibuk pasal siapa dia. Bila tiba masa, adalah. Yang penting, kita buat kerja. Ini yang penting. Kita selesaikan perpecahan, selesaikan krisis. Balik buat kerja, balik jalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas mengesahkan bahawa situasi Pas menolak tawaran untuk membantu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti didakwa Abdul Hadi benar-benar berlaku.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku sewaktu kunjungan Obama ke Malaysia (sekitar 2014 atau 2015) yang mana pemimpin tersebut memang ada bertemu Abdul Hadi.

“Ia berlaku di Kedutaan AS suatu masa dahulu, sewaktu kunjungan Obama (ke Malaysia). Jadi kami dijemput untuk majis minum petang dan itulah salah satu perkara yang berlaku.

“Ketika itu wakil daripada Kedutaan AS bertanya, adakah Pas merancang untuk menjatuhkan kerajaan BN, tetapi kami tidak memberikan apa-apa keputusan,” katanya ketika ditemui selepas Muktamar Pas.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, ketika itu Pas sememangnya tidak mahu ada campur tangan dari negara-negara luar di dalam urusan politik negara dan pendirian itu kekal sehingga kini.

“Sebab kita tidak mengharapkan campur tangan daripada negara-negara luar. Sebab politik negara kita, negara kitalah. Tidak boleh campur tangahn luar.

“Kalau parti-parti lain mahukan campur tangan daripada negara-negara luar untuk menjatuhkan kerajaan, itu ikut suka merekalah tetapi kami tidak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×