Guru minta bayaran RM1,200 selepas rampas telefon pelajar

Guru minta bayaran RM1,200 selepas rampas telefon pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Sebuah sekolah di Bangkok disiasat selepas seorang guru merampas telefon bimbit pelajar dan didakwa meminta wang sebanyak 10,000 baht (RM1,209) sebagai syarat untuk memulangkan semula peranti itu.

Insiden yang tidak mendedahkan identiti sekolah dan guru itu dilaporkan berlaku pada 20 April, namun dikongsi di media sosial pada Khamis lalu.

Menurut hantaran tersebut, pelajar berkenaan berpindah dari wilayah Narathiwat ke Bangkok untuk melanjutkan pelajaran dan tinggal jauh daripada keluarganya.

Satu-satunya saudara terdekatnya di Bangkok ialah bapa saudara yang menetap di kawasan Ramkhamhaeng.

Pelajar terbabit mengakui dia sedar penggunaan telefon bimbit dilarang semasa waktu pembelajaran, namun tetap membawa peranti itu ke sekolah.

Dia juga didakwa menggunakan telefon tersebut di dalam kelas sebelum ia dirampas oleh guru berkenaan.

Telefon itu dilaporkan berada dalam simpanan guru tersebut sehingga 27 April, dan pelajar berkenaan memintanya dipulangkan dengan alasan ingin menghantarnya pulang ke Narathiwat.

Bagaimanapun, guru itu enggan memulangkan telefon tersebut dan mengarahkan pelajar terbabit meminta ibunya menghubungi secara langsung.

Pelajar itu kemudiannya mendapatkan bantuan daripada bapa saudaranya yang terpaksa datang berjumpa guru berkenaan kerana ibunya tinggal jauh dari Bangkok.

Menurut bapa saudara itu, guru tersebut bertanya berapa jumlah yang sanggup dibayar untuk mendapatkan semula telefon berkenaan. Dia menawarkan 1,500 baht (RM181), namun tawaran itu ditolak.

Ibu pelajar kemudian membuat keputusan untuk menarik anaknya keluar daripada sekolah dan memintanya pulang ke rumah. Dia kemudiannya menghubungi isteri guru berkenaan mengenai pengunduran tersebut serta meminta telefon itu dihantar semula melalui pos.

Isteri guru itu didakwa memberitahu keluarga membawa telefon ke sekolah melanggar peraturan dan ibu bapa perlu membayar untuk mendapatkan semula peranti yang dirampas.

Tiga hari kemudian, keluarga berkenaan dilaporkan mengadakan perbincangan sekali lagi dengan guru tersebut, yang didakwa menuntut bayaran 10,000 baht sebagai syarat untuk memulangkan telefon itu.

Keluarga pelajar itu menganggap tuntutan berkenaan tidak adil dan berpendapat situasi tersebut boleh dianggap sebagai kecurian, lalu membuat laporan kepada pihak polis. Namun, telefon berkenaan masih tidak dipulangkan walaupun selepas lapan sesi perbincangan diadakan.

Insiden itu turut mencetuskan kritikan di media sosial, dengan ramai pengguna mempersoalkan sama ada tindakan merampas telefon tersebut benar-benar bertujuan menguatkuasakan peraturan sekolah atau untuk kepentingan kewangan guru terbabit.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN