TOKYO: Dua biji melon premium yang ditanam di Hokkaido, pulau utara Jepun, mencipta rekod baharu apabila dijual pada harga 5.8 juta yen (RM144,543) pada lelongan pertama tahun 2026 semalam.
Harga itu mengatasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu 5 juta yen yang dicatatkan pada 2019.
Melon jenis Yubari King itu dibida oleh syarikat pemborong buah-buahan dan sayur-sayuran, Futami Seika, yang berpangkalan di Kushiro.
Buah berkenaan kemudian dijual kepada rangkaian pasaraya Keio Store untuk dipamerkan di satu daripada cawangannya di Tokyo hingga 24 Mei.
“Saya berharap orang ramai di Tokyo dapat menikmati tembikai Hokkaido ini,” kata ketua jualan Futami Seika, Hirokazu Okubo, yang terbabit dalam bidaan berjaya itu di sebuah pasar borong di Sapporo.
Tembikai Yubari terkenal dengan isi berwarna jingga, berjus serta rasanya yang manis, dan sering dijadikan hadiah di Jepun.
Menurut koperasi pertanian Yubari, petani tempatan merancang menghantar kira-kira 3 juta kilogram melon bernilai sekitar 2.12 bilion yen pada 2026, dengan musim kemuncak penuaian dijangka berlangsung pada Jun dan Julai.- AGENSI










