NEW YORK: Pasukan pakar Bank Dunia melawat Venezuela buat kali pertama sejak negara Amerika Selatan itu dengan institusi kewangan yang berpusat di Washington memulihkan semula hubungan pada April.
Delegasi yang diketuai Naib Presiden Bank Dunia untuk Amerika Latin dan Caribbean, Susana Cordeiro Guerra, bertemu dengan pemimpin sementara, Delcy Rodriguez, serta pasukan ekonominya.
Menurut kenyataan Bank Dunia kelmarin, perbincangan berlangsung dalam suasana ‘mesra dan membina’, dengan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi terkini Venezuela serta meneroka kemungkinan bidang kerjasama dalam bantuan teknikal.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk meneruskan kerjasama bagi mengenal pasti bidang bantuan teknikal yang lebih konkrit demi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial rakyat Venezuela.
Pemulihan hubungan antara Caracas, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang dibekukan sejak 2019, membuka ruang kepada kemungkinan sokongan kewangan sekiranya dimohon oleh kerajaan Venezuela.
Penangkapan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro oleh pasukan khas Amerika Syarikat (AS) pada Januari lalu mendorong IMF mendapatkan pandangan daripada negara anggota mengenai langkah seterusnya, termasuk sama ada mereka mengiktiraf Rodríguez sebagai pemimpin sah negara itu.
Pada masa sama, AS memberi tekanan kepada Caracas supaya membuka ekonominya yang sedang bergelut kepada pelaburan asing, khususnya dalam sektor tenaga.
Venezuela memiliki rizab minyak mentah terbesar di dunia, namun infrastrukturnya semakin usang serta terjejas akibat rasuah dan kekurangan pelaburan.
Washington menarik balik sebahagian besar sekatan yang dikenakan terhadap Caracas, manakala penerbangan terus antara kedua-dua negara sedang dipulihkan secara berperingkat.
Peningkatan hubungan antara institusi kewangan global dan pemimpin Venezuela dijangka dapat meyakinkan pelabur yang masih berhati-hati untuk melabur dalam kerajaan baharu negara itu.- AFP










