MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Michael Carrick mengakui dia semakin selesa menggalas tanggungjawab besar di Old Trafford selepas berjaya membawa kelab itu kembali ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Kemenangan dramatik 3-2 ke atas Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam memastikan United menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik dengan baki tiga perlawanan.
Menurut Carrick, kejayaan tersebut merupakan pencapaian penting selepas dia dilantik pada Januari lalu bagi menggantikan Ruben Amorim yang dipecat.
“Saya menikmati tugas ini dan ia satu kedudukan yang sangat baik untuk saya. Sejujurnya, semuanya terasa agak semula jadi walaupun ini peranan yang mencabar,” katanya.
Carrick sebelum ini pernah berkhidmat dalam barisan kejurulatihan United serta mengendalikan pasukan secara sementara pada 2021. Bagaimanapun, pengalaman sebagai pengurus sepenuh masa hanya diperolehnya bersama Middlesbrough.
Dalam perkembangan sama, dia kini dilihat sebagai calon utama untuk dilantik secara tetap, meskipun pihak kelab turut dikaitkan dengan Andoni Iraola dan jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann.
Mengulas lanjut, Carrick menegaskan sasaran United tidak seharusnya terhenti setakat layak ke Liga Juara-Juara, sebaliknya perlu kembali mencabar kejuaraan liga selepas kali terakhir menjulang trofi itu 13 tahun lalu.
“Pada awalnya, sasaran ke Liga Juara-Juara dilihat agak jauh, namun kami berjaya mencapainya lebih awal. Walaupun ia memberi kepuasan, itu bukanlah penamat sebenar,” katanya.
Sementara itu, kekalahan tersebut menyaksikan Liverpool terus bergelut untuk mengesahkan tempat ke saingan elit Eropah musim depan.
Pengendalinya, Arne Slot meluahkan kekecewaan terhadap kelemahan fokus pasukannya yang membuka ruang kepada jaringan kemenangan United.
“Kami sering dihukum akibat hilang tumpuan walaupun hanya beberapa saat. Situasi ini berulang kali berlaku sepanjang musim,” katanya.
Liverpool yang beraksi tanpa beberapa tonggak utama termasuk Mohamed Salah, Alexander Isak dan Hugo Ekitike sebelum itu berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat kedudukan 2-2, namun jaringan lewat Kobbie Mainoo memusnahkan harapan mereka meraih sekurang-kurangnya satu mata. – AFP










