PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yazmin Aziz melakar sejarah apabila menjadi artis Malaysia pertama membuat persembahan di platform muzik berpengaruh Asia, Wish 107.5 Wish Bus.
Persembahan Yazmin yang dirakam 20 Januari lalu itu telah ditayangkan secara rasmi pada pukul 9 malam, Selasa menerusi saluran YouTube platform berkenaan yang sering meraih jutaan tontonan dari seluruh dunia.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Yazmin menyifatkan peluang beraksi di dalam studio rakaman bergerak berteknologi tinggi itu sebagai satu detik penting dalam kerjaya seninya.
“Berada di Wish Bus ibarat melangkah ke pentas global yang membolehkan seluruh dunia mengenali bakat kita. Ia bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu pengiktirafan dalam budaya muzik yang sangat dihormati,” katanya.
Menerusi sesi tersebut, Yazmin mempertaruhkan single terbaharunya dalam bahasa Tagalog berjudul Nagpalinlang yang bermaksud ‘Ditipu’.
Lagu yang dilancarkan pada 16 Januari lalu di bawah label Sony Music itu merupakan hasil karya peribadi Yazmin bersama Adonis Tabanda dan diterbitkan oleh Bo Amir Iqram.
Jelas Yazmin, Nagpalinlang bukan sekadar naskhah tentang kegagalan cinta, sebaliknya membawa mesej mengenai kesedaran dan harga diri.
“Ia bukan sekadar lagu putus cinta, tetapi lagu tentang kebangkitan dan memilih kejelasan berbanding terus hidup dalam ilusi,” ujarnya.
Platform Wish Bus yang bermula di Filipina pada 2014 pada asalnya adalah sebuah stesen radio terkemuka di Filipina yang telah berkembang menjadi studio radio dan rakaman mudah alih.
Platform ini juga mula mencuri tumpuan Hollywood, Amerika Syarikat dan Korea Selatan, serta dianggap sebagai penanda aras kredibiliti bagi seseorang artis di peringkat global.
Selain Yazmin, penyanyi Mimifly turut membuat kemunculan di platform yang sama dan selesai rakaman pada April lalu. -UTUSAN










