Hargai kejernihan Pantai Tanjung Biru

Hargai kejernihan Pantai Tanjung Biru

PENGUNJUNG mandi-manda dan berkelah di Pantai Tanjung Biru, Port Dickson, Negeri Sembilan kerana kejernihan airnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pantai Tanjung Biru di sini mula menjadi tumpuan pelancong selepas tular di media sosial mengenai kejernihan airnya.

Peniaga, Harrif Jamaludin, 35, mengakui, jumlah pengunjung meningkat mendadak sejak pantai itu menjadi perhatian ramai dan jualannya meningkat kira-kira 40 peratus berbanding sebelum ini.

“Memang ramai orang datang sekarang termasuk dari luar negeri dan pelancong asing. Sebelum ini, hari biasa hanya lima buah kereta singgah tetapi kini meningkat kepada lebih 15 kereta.

“Dari awal pagi lagi sudah kelihatan pengunjung berban­ding dahulu yang agak le­ngang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Harrif berkata, pelancong dari Russia, England, China dan Jepun turut mengunjungi pantai itu kerana suasananya yang tenang serta ombak tidak terlalu kuat.

Penduduk, Nur Asnida Ismail, 40, berkata, dia berkunjung ke situ bersama keluarga selepas melihat video tular yang memaparkan keindahan airnya yang jernih.

Menurutnya, keadaan pantai itu jauh berbeza berbanding sebelum ini yang tidak terurus dan dipenuhi sampah.

“Saya terus datang ke sini selepas pantai ini tular dan memang betul airnya biru serta bersih. Sekarang sangat sesuai untuk aktiviti keluarga terma­suk yang membawa anak kecil kerana kawasannya tidak berbahaya, selain kemudahan se­perti tandas juga berhampiran,” katanya.

Nur Asnida berkata, pengunjung perlu memainkan peranan menjaga kebersihan agar keindahan itu terus terpelihara.

“Kalau datang bawa makanan, pastikan bawa balik semula. Jangan datang 10, balik lapan. Jika tidak, pantai ini akan kembali kotor,” katanya.

Pengunjung, Haniz Amirah Hanif, 34, berkata, sebelum ini dia beranggapan keadaan air di Port Dickson kurang jernih, sekali gus menimbulkan pe­rasaan ingin tahu untuk melihat sendiri lokasi tular.

Katanya, sebaik tiba di pantai berkenaan, keadaan sebenar jauh lebih baik daripada jangkaan.

“Airnya memang nampak jernih dan cantik. Seawal pagi lagi pekerja pembersihan sudah menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan pantai.

“Saya tidak sangka kawasan di Selat Melaka boleh mempunyai kejernihan seperti ini, hampir menyerupai pantai di Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN