PETALING JAYA: Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui kegagalan pemainnya mengawal situasi bola mati telah menjadi punca kekalahan 4-0 kepada Selangor FC dalam aksi liga di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.
Skuad kendalian Kim Pan Gon memperoleh tiga gol daripada situasi bola mati menerusi sepakan sudut yang disempurnakan Chrigor Moraes dan Harith Haiqal Adam Afkar serta sepakan percuma Alvin Fortes.
Wan Rohaimi berkata, dia sudah memberi peringatan kepada setiap pemain agar mengendalikan situasi bola mati dengan baik namun mereka masih gagal menyempurnakan tugasan itu dengan baik.
“Gol yang dijaringkan oleh lawan hadir daripada sepakan bola mati bukan mudah untuk kembali menyaingi tetapi saya nampak pemain tidak berputus asa di mana mereka mencuba sedaya upaya pada babak kedua.
“Namun, pemain saya perlu meningkatkan keupayaan mereka untuk mengendalikan situasi bola mati sebab banyak pasukan yang mempunyai kelebihan apabila memiliki situasi bola mati,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rohami turut mengakui dia berasa bimbang berikutan pasukannya masih gagal mencipta sebarang kemenangan dalam tujuh aksi liga berturut-turut.
“Ya, yang merisaukan saya adalah betapa susahnya untuk kami menjaringkan gol. Kita ada peluang walaupun pada akhirnya ofsaid, tetapi sekurang-kurangnya letaklah bola dalam jaring.
“Kita sebenarnya sentiasa mencipta peluang tetapi gagal untuk menolak bola melepasi garisan gol. Itu menjadi masalah utama,” katanya.










