YANGON: Myanmar mengumumkan penemuan batu delima seberat 11,000 karat, terbesar pernah direkodkan di negara itu yang terkenal dengan batu permata berharga.
Batu delima tersebut ditemukan di kawasan Mogok dan disifatkan oleh kerajaan disokong junta sebagai ‘sangat besar, jarang dijumpai dan sukar diperoleh.
Menurut kenyataan itu, delima berkenaan mempunyai warna merah keunguan dengan sedikit tona kuning, serta dikategorikan sebagai batu permata gred warna berkualiti tinggi.
Walaupun lebih kecil daripada batu delima 21,450 karat yang ditemukan di kawasan sama pada 1996, batu permata baharu itu dianggap lebih bernilai kerana warna, kejelasan dan kualiti keseluruh lebih tinggi, kata kerajaan tanpa memberikan nilai tepat.
Maharaja, raja dan panglima perang sejak sekian lama berebut kawasan lembah Mogok di wilayah Mandalay, tempat batu ‘darah merpati’ yang unik ditemukan tersembunyi.
Batu delima Mogok adalah yang paling mahal di dunia, dengan batu permata berkualiti tinggi boleh mencecah harga jutaan dolar dalam industri yang terkenal dengan kekurangan peraturan.
Myanmar diperintah oleh junta sejak rampasan kuasa pada 2021 yang mencetuskan perang saudara, namun bekas ketua tenteranya mengangkat sumpah pada April sebagai presiden awam selepas pilihan raya yang dikawal ketat.– AFP











