PETALING JAYA: Walaupun terus menunjukkan peningkatan di pentas antarabangsa, raja pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi masih belum mampu memecahkan sempadan bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m) meskipun catatan dibantu angin.
Pada Kejohanan East Coast Relay di Jacksonville, Florida, Azeem mencatat 10.08s namun catatan itu tidak diiktiraf sebagai rekod rasmi kerana bantuan angin terlalu kuat iaitu +4.1 m/s.
Dalam perlumbaan tersebut, beliau menamatkan saingan di kedudukan keempat daripada 59 pelari keseluruhan yang mengambil bahagian.
Traunard Folson dari Universiti Tennessee muncul juara dengan catatan 9.93s diikuti Kanyinsola Ajayi (9.99s) dan Omari Lewis (10.05s) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Catatan 10.17s yang dilakukannya sebelum ini di Tom Jones Memorial juga memperlihatkan peningkatan tetapi masih belum cukup untuk memecahkan halangan bawah 10s.
Pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu sebelum ini pernah mencatat 10.01s pada Kejohanan Trek dan Padang Universiti Appalachian di Carolina Utara pada Mei tahun lalu, namun tidak diiktiraf akibat bantuan angin terlalu kuat +4.7m/s.
Untuk rekod, Azeem masih memegang rekod kebangsaan 100m menerusi catatan 10.09s yang dicipta di Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada 2022.










