ASEAN rangka pelan perkongsian tenaga hadapi krisis Asia Barat

ASEAN rangka pelan perkongsian tenaga hadapi krisis Asia Barat

FERDINAND MARCOS JR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CEBU: Pemimpin Asia Tenggara pada Jumaat meluluskan langkah yang bertujuan mengurangkan kesan konflik Asia Barat yang terus menggugat aliran tenaga dan perdagangan global.

Namun, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., yang juga Pengerusi ASEAN pada 2026, berkata banyak butiran mengenai langkah berkenaan masih perlu diperincikan.

Pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu, beliau berkata, kumpulan itu menghasilkan satu deklarasi yang menggesa ratifikasi Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA), membolehkan negara anggota berkongsi bekalan bahan api ketika berlaku gangguan bekalan.

Kumpulan itu turut menggesa pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN, satu pelan jangka panjang untuk menghubungkan rangkaian elektrik negara anggota kepada grid serantau.

Namun apabila ditekan mengenai garis masa pelaksanaannya, Marcos berkata, banyak butiran operasi masih perlu diselesaikan.

“Semua ini adalah idea baharu dan sebahagiannya masih perlu diratifikasi oleh setiap negara. Semua negara mempunyai jadual yang berbeza.

“Tetapi semua pihak memahami bahawa perkara ini perlu dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN perlu menentukan bagaimana rizab bahan api akan disimpan dan dikongsi, siapa yang akan diberi keutamaan ketika berlaku kekurangan bekalan serta bagaimana mekanisme perkongsian tenaga serantau akan berfungsi dalam amalan sebenar.

Sidang kemuncak 2026 berlangsung di bawah bayangan perang Iran, yang mencetuskan kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak, inflasi dan gangguan bekalan di seluruh Asia Tenggara.

Rantau ini mengimport kira-kira dua pertiga minyak mentahnya, sekali gus menjadikannya amat terdedah kepada ketidakstabilan berpanjangan di Teluk.

Dalam sidang media itu, Marcos berkata, pemimpin ASEAN menegaskan semula sokongan terhadap undang-undang antarabangsa, kedaulatan dan kebebasan pelayaran, selain menyeru pasaran yang terbuka dan boleh diramal serta aliran tanpa gangguan barangan penting termasuk makanan dan tenaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×