AS-Iran belum capai perjanjian muktamad

AS-Iran belum capai perjanjian muktamad

SEORANG budak lelaki berpakaian seperti tentera sambil memegang replika senapang semasa perhimpunan solidariti dan sokongan terhadap pemimpin tertinggi Iran baharu, Ayatollah Mojtaba Khamenei di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kini sedang mempertimbangkan keputusan berhubung perjanjian berpotensi dengan Iran, namun Teheran menegaskan masih tiada persetujuan muktamad dicapai untuk menamatkan konflik di Asia Barat.

Pada masa sama, agensi berita Iran, Fars, menolak beberapa dakwaan utama yang dibuat Trump mengenai perjanjian itu dengan memetik sumber berkaitan yang menyifatkan kenyataannya sebagai ‘campuran kebenaran dan pembohongan’.

Menurut sumber AS yang dipetik AFP, perjanjian berkenaan hanya menunggu kelulusan akhir daripada Trump selepas beberapa minggu rundingan yang berlangsung secara berlarutan bagi menamatkan konflik yang mencetuskan ketegangan di Asia Barat serta memberi kesan kepada ekonomi global.

Menurut laporan The New York Times, Trump menghadiri mesyuarat selama dua jam di Bilik Situasi Rumah Putih pada 29 Mei, namun belum membuat keputusan berhubung sebarang perjanjian baharu dengan Iran.

Trump mengumumkan mesyuarat itu menerusi satu hantaran panjang di media sosial, sambil mengulangi pendirian lama Washington bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan perlu membuka semula Selat Hormuz, laluan perkapalan penting dunia.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata kepada media kerajaan, republik Islam itu sudah ‘mengucapkan selamat tinggal kepada bahasa berbentuk arahan atau tuntutan sejak 47 tahun lalu’, merujuk kepada penolakan Teheran terhadap tekanan luar dalam menentukan dasar negara.

“Berhubung persefahaman itu… pertukaran mesej masih berlangsung, tetapi tiada perjanjian akhir yang dicapai setakat ini,” katanya.

Dalam hantaran tersebut, Trump mendakwa Teheran akan mengalihkan periuk api di Selat Hormuz serta menamatkan sekatan ke atas laluan perairan strategik itu tanpa mengenakan sebarang bayaran tol, manakala AS pula akan menarik balik sekatan selari yang dikenakan ke atas pelabuhan Iran.

Beliau turut berkata, kedua-dua negara akan menyelaraskan usaha untuk mengeluarkan dan memusnahkan uranium yang telah diperkaya oleh Iran.

Trump menambah tiada wang akan ditukar tangan sehingga diberitahu kelak.

Bagaimanapun, agensi berita Fars memetik sumber Iran sebagai berkata, Teheran menuntut pembebasan segera aset Iran bernilai AS$12 bilion (kira-kira RM56 bilion) yang dibekukan dan menegaskan bahawa Iran tidak akan bergerak ke fasa rundingan seterusnya sehingga pembayaran itu dibuat.

Mengenai dakwaan pembukaan semula Selat Hormuz tanpa bayaran tol, sumber berkenaan berkata ‘tiada klausa sedemikian terdapat dalam teks perjanjian’, manakala kenyataan berhubung pemusnahan bahan nuklear Iran pula disifatkan sebagai tidak berasas sama sekali.

Baqaei turut memberitahu televisyen kerajaan ketika ini ‘tiada rundingan’ sedang berlangsung berhubung program nuklear Iran.

Hantaran Trump itu dibuat ketika diplomat tertinggi Iran membayangkan pendekatan AS dalam rundingan menjadi faktor yang melambatkan pemeteraian perjanjian antara kedua-dua negara.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN