Afifuddin idam hadiahkan kejuaraan di hadapan penyokong sendiri

Afifuddin idam hadiahkan kejuaraan di hadapan penyokong sendiri

MUHAMMAD Afifuddin Mohd Razali tekad memastikan kejuaraan acara kuadran menjadi milik skuad negara yang bakal turun bertemu India pada malam ini-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain kuadran negara, Muhammad Afifuddin Mohd Razali memasang impian besar untuk menghadiahkan gelaran juara acara kuadran kepada Malaysia selepas berjaya membawa pasukan mara ke pentas final Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang dijadualkan berlangsung malam ini.

Menurut Afifuddin, kejayaan melangkah ke final bukan sesuatu yang mudah apabila Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan tekanan hebat daripada Vietnam yang terkenal sebagai antara pasukan kuat dalam acara tersebut.

Bagaimanapun, semangat juang tinggi dipamerkan skuad negara membolehkan mereka bangkit daripada ketinggalan sebelum mengesahkan tiket ke final.

“Alhamdulillah, syukur kami berjaya menang ke atas Vietnam. Kita tahu mereka pasukan kuat dalam kuadran ini.Walaupun set pertama kami agak jauh ketinggalan mata, kami berjaya bangkit dan menang untuk layak ke final malam ini bertemu India,” katanya.

Afifuddin mengakui dia turut berdepan tekanan besar terutama dalam peranannya sebagai perejam utama apabila perlu berdepan benteng pertahanan lawan yang ampuh.

Katanya, pengalaman serta semangat juang menjadi faktor utama membantunya mengatasi tekanan tersebut.

“Saya tahu Vietnam mempunyai hadangan yang sangat baik. Sebagai killer memang ada tekanan untuk melepasi benteng mereka.Tetapi dengan semangat dan pengalaman yang ada, akhirnya pasukan berjaya melangkah ke final,” ujarnya.

Menanti Malaysia di pentas akhir ialah India, lawan yang hampir mengejutkan skuad negara pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Meskipun sedar kekuatan lawan, Afifuddin percaya Malaysia memiliki ramuan terbaik untuk mencipta kelainan kali ini.

“Kita tahu India memang pasukan hebat. Dari segi pukulan dan hadangan mereka sangat bagus.Tetapi insya-Allah kami akan berikan yang terbaik dan sasaran kami hanya satu, mahu muncul juara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN