PETALING JAYA: Beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke suku akhir selepas membenam pasangan ke-13 dunia, Ben Lane-Sean Vendy pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Kallang, Singapura, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan juara bertahan menyingkirkan beregu No. 1 England itu 21-18, 21-16 dalam masa 42 minit.
Kemenangan tersebut membolehkan Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod pertemuan ke atas Lane-Vendy kepada 7-4.
Laluan lebih getir menanti Aaron-Wooi Yik yang perlu melepasi halangan beregu No. 5 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, esok jika berhajat mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka pada edisi lalu.
Namun, rekod pertemuan 3-10 yang jelas tidak berpihak kepada beregu No. 1 Malaysia itu, wajar dijadikan sebagai garis panduan agar kekalahan tidak terus membayangi Aaron-Wooi Yik setiap kali berdepan Wei Keng-Wang Chang.
Kali terakhir Aaron-Wooi Yik menang ke atas jaguh China itu adalah pada separuh akhir Kejohanan Asia di Ningbo, China, tahun lalu dan selepas itu, mereka kecundang sebanyak dua kali pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 dan Piala Thomas, awal bulan ini.
Sementara itu, juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mara ke suku akhir, selepas menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong 22-20, 21-14 dalam masa 41 minit.
Kemenangan tersebut sekurang-kurangnya meningkatkan keyakinan pasangan No. 4 dunia itu yang pernah tewas di tangan gandingan ke-67 dunia tersebut pada suku akhir Kejohanan Asia di Ningbo, bulan lalu.
Pada suku akhir, Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan beregu No. 28 dunia, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dari India dengan rekod pertemuan berpihak kepada wakil Malaysia itu 3-0. – UTUSAN










