71,320 kesalahan trafik direkod JPJ Johor pada empat bulan pertama tahun ini - Utusan Malaysia

71,320 kesalahan trafik direkod JPJ Johor pada empat bulan pertama tahun ini

PENGARAH JPJ Johor Zulkarnain Yasin (kanan) melakukan pemeriksaan lesen keatas penunggang motosikal dalam OPS Satu Johor di Susur Jalan Skudai - Pontian di Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor merekodkan sebanyak 71,320 kesalahan trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam operasi yang dilaksanakan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, kesalahan tertinggi yang direkodkan melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh iaitu 11,970 kes atau 15 peratus.

“Ini diikuti kesalahan kenderaan tiada insurans sebanyak 9,983 kes (14 peratus); tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 1,216 kes (2 peratus) dan tiada lesen vokasional (2 peratus).

“Dalam tempoh sama, kita telah periksa sebanyak 341,917 kenderaaan di mana 40,539 daripadanya telah diambil tindakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengetuai Ops 1J di susur Jalan Skudai-Pontian, di sini malam tadi.

Tambah Zulkarnain, pihaknya turut merekodkan 10,287 kes atau 14 peratus kesalahan melibatkan sembilan kesalahan utama seperti tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, membawa lebih muatan dan tidak mematuhi lampu isyarat.

“Bagi kesalahan teknikal pula, sebanyak 15,715 kes direkodkan antaranya membabitkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin gelap, ubah suai kenderaan dan penggunaan tayar celup,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung operasi selama dua jam yang dilaksanakan pihaknya Zulkarnain memberitahu 9,356 kenderaan telah diperiksa dengan 2,824 kesalahan direkodkan melibatkan 1,896 kenderaan.

“Dalam operasi ini, seramai 11 lelaki warga asing terdiri daripada tujuh warga Myanmar, tiga warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN