KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan sebuah akta baharu dikenali sebagai Akta Penjagaan Ibu Bapa bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan warga emas di negara ini susulan jangkaan Malaysia menuju ke negara tua menjelang tahun 2030.
Selain itu, akta tersebut juga akan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberi masa selama enam bulan untuk menyiapkan dokumen Rang Undang-Undang (RUU) tersebut.
“Beberapa negara telah melaksanakan undang-undang berkenaan tetapi negara kita masih di dalam peringkat kajian.
“Saya telah meminta kementerian mengemukakan kertas cadangan kepada pembentukan akta itu, enam bulan dari sekarang dan mesti kemukakan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan dasar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara bagi tahun 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini semalam.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak mahu dalam Malaysia menuju ke sebuah negara yang maju, soal tanggungjawab sosial kepada ibu bapa ini diabaikan.
Katanya, nilai-nilai agama dan ketimuran ini harus dijaga agar tidak luntur serta diabaikan sebab harus ada perimbangan di antara nilai-nilai duniawi dengan ukhrawi.
Menurut beliau, semua bangsa dan agama memberikan penekanan untuk penjagaan ibu bapa walaupun ia mungkin agak berbeza antara satu negara dengan negara lain-UTUSAN.










