LONDON: Kenderaan persendirian bakal dilarang daripada memasuki 200 lagi jalan raya di sekitar London, Britain.
Ia susulan langkah Datuk Bandar, Sadiq Khan dan agensi Pengangkutan untuk London (TfL) melancarkan skim baharu bagi menggalakkan budaya berjalan kaki.
Setakat ini, lebih 800 laluan yang dikenali sebagai ‘School Streets’ atau ‘Jalan Sekolah’ telah pun dilaksanakan di bandar tersebut.
Ia merupakan inisiatif bagi menetapkan sekatan waktu zon pemanduan kenderaan bermotor khususnya ketika sesi waktu puncak pelajar datang dan pulang dari sekolah.
Menurut TfL, polisi mesra alam berkenaan setakat ini telah berjaya membantu meningkatkan kualiti kebersihan udara selain mengurangkan risiko bahaya kemalangan jalan raya.
Kejayaan itu adalah melalui pengurangan jumlah trafik kenderaan dan menyediakan ruang pergerakan tambahan kepada pejalan kaki, kata agensi tersebut.
Bagaimanapun, pelaksanaan dasar tersebut tidak terlepas daripada menerima kritikan hebat daripada pihak penentang yang mendakwa skim itu sekadar memaksa pemandu beralih ke laluan lain.
Situasi berkenaan sekali gus mengakibatkan pengguna kereta dan pemandu kenderaan penghantaran terpaksa memandu meredah kawasan perumahan pada waktu paling sibuk.
Meskipun menerima bantahan, jumlah laluan ‘Jalan Sekolah’ di London dijangka melonjak melebihi 1,000 laluan selepas Datuk Bandar terbabit dilaporkan kini bersiap sedia untuk memperluaskan lagi kempen sekatan kenderaan bermotor tersebut.
Skim berkenaan disasarkan untuk dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2030 dengan objektif utama bagi menjadikan aktiviti berjalan kaki sebagai pilihan utama pengangkutan untuk ke sekolah dalam kalangan sebahagian besar warga London. – AGENSI










