15 aktivis GSF alami serangan seksual, diperkosa

15 aktivis GSF alami serangan seksual, diperkosa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Aktivis yang dibebaskan daripada tahanan Israel selepas ditangkap semasa melaksanakan konvoi flotila ke Gaza dilaporkan menjadi mangsa penderaan, dengan beberapa orang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan dan sekurang-kurangnya 15 lagi mengalami serangan seksual termasuk diperkosa.

Dakwaan penderaan itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap pihak berkuasa Israel untuk menjelaskan layanan terhadap tahanan, selepas video seorang menteri kabinet Israel yang dilihat mengejek sebahagian aktivis di dalam penjara mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Itali berkata, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) sedang membincangkan kemungkinan mengenakan sekatan terhadap Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir.

“Sekurang-kurangnya 15 kes serangan seksual, termasuk rogol. Ditembak dengan peluru getah dari jarak dekat. Puluhan orang mengalami patah tulang,”

“Meskipun perhatian dunia tertumpu kepada penderitaan peserta kami, kami ingin menegaskan ini hanyalah gambaran kecil keganasan yang dikenakan Israel setiap hari terhadap tahanan Palestin,” kata penganjur Global Sumud Flotilla (GSF) dalam hantaran di aplikasi media sosial Telegram.

Dalam satu hantaran Instagram oleh kumpulan aktivis yang disahkan oleh Reuters, warganegara Perancis, Adrien Jouen, menunjukkan kesan lebam di seluruh belakang badan dan di lengan bawahnya.

Aktivis berkata, sebahagian daripada dakwaan penderaan itu berlaku di laut selepas mereka dipintas oleh tentera laut Israel, dan sebahagian lagi berlaku selepas mereka ditahan serta dipenjarakan di Israel.

Perkhidmatan penjara Israel tidak memberikan maklum balas segera terhadap dakwaan itu semalam, yang merupakan cuti umum di Israel.

“Semua banduan dan tahanan ditahan mengikut undang-undang, dengan penuh mengambil kira hak asasi mereka dan di bawah pengawasan kakitangan penjara yang profesional dan terlatih.

“Rawatan perubatan diberikan berdasarkan pertimbangan perubatan profesional dan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan perkhidmatan penjara Israel pada Khamis.

Sebelum ini, tentera Israel menahan 430 orang di atas 50 kapal di perairan antarabangsa pada 19 Mei, bagi menghentikan flotila sukarelawan yang cuba membawa bekalan bantuan ke Gaza.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN