LONDON: Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes, Toto Wolff mengakui dia menggunakan pendekatan berbeza dalam menguruskan pemandu muda dengan mengambil kira tekanan besar yang wujud dalam dunia Formula Satu (F1).
Wolff, yang pernah bergelar pelumba dalam beberapa siri perlumbaan termasuk Formula Ford berkata, pengalamannya di trek perlumbaan membantunya memahami cabaran mental yang dihadapi pemandu muda.
Menurutnya, dalam F1 bukan sahaja bakat dan kepantasan yang dinilai, malah keupayaan mengurus tekanan turut menjadi faktor utama dalam menentukan kejayaan seseorang pelumba.
“Apabila kami menilai pemandu muda, kami melihat bakat, kelajuan semula jadi dan potensi perkembangan, tetapi yang paling penting ialah bagaimana mereka mengurus tekanan. Dalam F1, segalanya tentang tekanan,” katanya.
Wolff turut menegaskan pendekatan Mercedes berbeza berbanding sesetengah pasukan lain yang terlalu cepat menyingkirkan pemandu muda jika gagal menunjukkan prestasi dalam tempoh singkat.
Sebagai contoh, Wolff berkata, pasukannya memberi ruang kepada pemandu muda untuk berkembang walaupun berdepan kesilapan pada musim pertama.
“Kami sedar seorang pemandu muda akan melakukan kesilapan. Itu sebahagian daripada proses pembelajaran. Namun, kami percaya kepada pembangunan jangka panjang,” katanya.
Sepanjang menerajui Mercedes sejak 2013, Wolff telah bekerjasama dengan beberapa pemandu ternama termasuk Lewis Hamilton, Nico Rosberg, Valtteri Bottas, George Russell dan Kimi Antonelli.
Di bawah pimpinannya, Mercedes telah meraih lapan kejuaraan dunia pengeluar serta tujuh kejuaraan dunia pemandu, menjadikan pasukan itu antara yang paling dominan dalam era moden F1. – AGENSI










