MONTREAL: Pemandu Mercedes, Kimi Antonelli mengakui kesal dengan kegagalan unit kuasa yang menyebabkan rakan sepasukan dan pesaing kejuaraan, George Russell tersingkir daripada Grand Prix (GP) Kanada, kelmarin.
Bagaimanapun, Antonelli berkata dia tetal berasa gembira apabila melakar kemenangan keempat berturut-turut sekali gus mendahului 43 mata di kedudukan teratas senarai kejuaraan pemandu.
“Ia satu pertarungan yang sangat menyeronokkan, jujurnya, dengan George. Kami benar-benar berada pada had maksimum. Ia tidak mudah hari ini (kelmarin), dengan angin. Ia sangat kuat dan berubah-ubah dan selekoh ke-10 sangat sukar.
“Satu pusingan, saya rasa dia terkunci brek dan saya memintasnya dan kemudian saya pula terkunci brek, jadi ia sangat rapat dan memang sayang dia mengalami kegagalan kerana ia boleh jadi pertarungan yang sangat menarik.
“Tetapi, kami terima saja. Satu lagi kemenangan. Saya sangat gembira dan terima kasih besar kepada pasukan,” kata Antonelli.
Antonelli turut berkata, selepas bersendirian di hadapan, dia terpaksa menguruskan keadaan tayar yang mula mengalami ‘graining’, namun berjaya mengekalkan rentak sehingga ke garisan penamat.
“Ia rasa pelik. Tayar tidak mencengkam dengan baik, tetapi akhirnya kami mendapat rentak yang baik apabila suhu meningkat dan sekarang kami menantikan perlumbaan seterusnya di Monaco,” katanya.
Sementara itu, Russell yang bermula cemerlang apabila memenangi perlumbaan pecut dan meraih petak utama untuk saingan utama, meluahkan kekecewaan selepas jenteranya tiba-tiba kehilangan kuasa.
“Semua tiba-tiba terpadam. Enjin berhenti, tiada elektronik, tiada brek yang betul. Saya benar-benar tidak tahu apa yang berlaku,” katanya. – AFP/UTUSAN










