BOLOGNA: Aston Villa semakin menghampiri separuh akhir Liga Europa selepas menang 3-1 ke atas Bologna dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa, semalam.
Dalam aksi di gelanggang lawan itu, Ollie Watkins muncul wira apabila meledak dua gol selain Ezri Konsa turut meledak satu jaringan untuk skuad kendalian Unai Emery.
Kemenangan itu memastikan Villa terus memburu trofi utama pertama sejak menjulang Piala Liga 30 tahun lalu dan prestasi cemerlang Watkins juga memberi harapan untuknya ke Piala Dunia.
Villa akan berdepan sama ada FC Porto atau Nottingham Forest pada peringkat empat terakhir sekiranya menyingkirkan Bologna pada aksi timbal balik di Birmingham minggu depan.
“Menjaringkan gol sebelum separuh masa adalah detik terbaik yang kami pamerkan. Kami tambah satu lagi selepas itu dan kami rasa mampu menjaringkan lebih banyak gol.
“Di penghujung musim ini saya benar-benar bersedia. Saya mampu bermain lagi 90 minit. Saya teruja menantikan beberapa perlawanan seterusnya. Saya lapar (jaringan),” kata Watkins.
Villa sudah menewaskan Bologna tiga kali dalam dua musim terakhir termasuk dua kali dalam kempen Liga Europa musim ini, dengan kelab England itu memanfaatkan peluang sebaiknya walaupun Bologna beraksi penuh semangat.
“Jika kami mahu melangkah ke tahap lebih tinggi, kami tidak boleh melakukan kesilapan seperti ini. Apa sahaja boleh berlaku, tetapi perlawanan ini perlu menjadi pengajaran,” kata penyerang Bologna, Federico Bernardeschi.- AGENSI










